Kebakaran lima rumah, ragut satu nyawa

KEPONG – Suasana awal pagi di Taman Ehsan di sini, bertukar tragedi apabila seorang lelaki ditemukan rentung dalam kejadian kebakaran yang memusnahkan lima rumah teres satu tingkat di Jalan E5/11, Khamis.

Kejadian menyayat hati itu turut menyebabkan kerugian besar apabila beberapa kediaman serta kenderaan hangus terbakar dalam insiden yang berlaku ketika kebanyakan penduduk sedang tidur.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.31 pagi sebelum pasukan pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang tiba di lokasi kira-kira 19 minit kemudian.

Menurutnya, api melibatkan lima rumah jenis kelas A dengan keluasan kira-kira 20 x 60 kaki persegi setiap satu, dengan tahap kemusnahan antara 20 hingga 100 peratus sebelum berjaya dikawal pada jam 3.42 pagi.

“Pada jam 4.29 pagi, pasukan operasi menemukan seorang lelaki berusia 53 tahun dalam keadaan rentung di atas katil di sebuah bilik tidur. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ahmad Mukhlis berkata, kebakaran turut memusnahkan dua buah kenderaan iaitu sebuah Hyundai Getz dan Hyundai XG 250 yang masing-masing terbakar sepenuhnya.

Beliau memaklumkan, sebuah rumah musnah keseluruhan, dua rumah terbakar sehingga 80 peratus manakala dua lagi mengalami kerosakan sekitar 20 peratus.

Operasi pemadaman melibatkan 27 anggota dari BBP Selayang dengan bantuan BBP Rawang, BBP Jinjang dan BBP Manjalara, menggunakan beberapa jentera termasuk Fire Rescue Tender (FRT), Water Tanker (WT), Compact Fire Rescue Tender (CFRT) serta Emergency Medical Rescue Services (EMRS).

“Kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 7.15 pagi. Operasi seterusnya diteruskan dengan kerja-kerja ‘overhaul’ bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *