ALOR GAJAH – Dua kemalangan jalan raya yang berlaku dalam tempoh kira-kira satu jam di dua lokasi berasingan di daerah ini meragut lima nyawa, termasuk seorang penuntut universiti dan seorang anggota tentera dalam insiden yang menggemparkan kelmarin.
Kejadian pertama dilaporkan berlaku sekitar jam 3.40 petang di Jalan FELDA Hutan Percha apabila sebuah kereta jenis Honda City yang dinaiki empat individu bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, siasatan awal mendapati kenderaan tersebut dalam perjalanan dari Melaka ke Segamat sebelum dipercayai hilang kawalan.
“Kereta berkenaan dipercayai terbabas lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori yang datang dari arah Tebong ke Cheng.
“Akibat pelanggaran itu, seorang lelaki berusia 24 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, dua lagi mangsa masing-masing lelaki berusia 24 dan 23 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka antara jam 12.45 tengah malam dan jam 10.20 pagi keesokan hari.
Seorang lagi mangsa, wanita berusia 23 tahun yang juga penuntut sebuah universiti awam dilaporkan masih menerima rawatan di hospital sama.
Dalam pada itu, pemandu lori berusia 59 tahun serta kelindannya berusia 28 tahun mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Tampin, Negeri Sembilan.
Sementara itu, nahas kedua berlaku kira-kira sejam kemudian pada jam 4.40 petang di Jalan Lendu, membabitkan sebuah motosikal Yamaha YZF dan sebuah kereta Perodua Viva.

Menurut Ahmad, kedua-dua kenderaan dipercayai bergerak arah sama iaitu dari Alor Gajah ke Masjid Tanah sebelum kemalangan berlaku.
“Siasatan awal mendapati pemandu kereta dipercayai membelok ke kanan secara mengejut tanpa memastikan keadaan selamat.
“Tindakan itu menyebabkan motosikal yang datang dari arah belakang gagal mengelak lalu melanggar bahagian sisi kanan kenderaan tersebut,” katanya.
Impak pelanggaran itu menyebabkan penunggang motosikal yang juga anggota tentera berusia 23 tahun bersama pemboncengnya berusia 28 tahun tercampak ke laluan bertentangan.
Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat, manakala sampel darah akan diambil bagi tujuan ujian toksikologi.
Dalam kejadian sama, pasangan suami isteri yang menaiki Perodua Viva masing-masing berusia 64 dan 62 tahun dilaporkan cedera dan kini dirawat di hospital.
Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan semua kenderaan terlibat telah ditahan untuk pemeriksaan lanjut di Puspakom.
Sehubungan itu, pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau rakaman kamera papan pemuka tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nurul Salina Rosli di talian 011-25435507 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L