KUALA LUMPUR – Pertubuhan kebebasan media, Gerakan Media Merdeka (Geramm) menzahirkan kekesalan terhadap tindakan membuat laporan polis terhadap laporan media, sambil menegaskan kepentingan prinsip hak jawab dalam amalan kewartawanan.
Dalam satu kenyataan, Geramm menegaskan, media mempunyai tanggungjawab untuk memberikan ruang hak jawab kepada pihak terlibat, sama seperti polis yang bertanggungjawab menyiasat setiap laporan diterima.
Namun, menurut NGO itu, keengganan mana-mana pihak menggunakan ruang tersebut tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalang penerbitan sesuatu laporan, khususnya dalam konteks kewartawanan penyiasatan melibatkan pelbagai sumber.
“Keengganan untuk menggunakan hak jawab bukanlah tiket menyekat wartawan atau organisasi media daripada menerbitkan laporan, terutama yang berkepentingan awam,” menurut kenyataan itu.
Geramm turut menyifatkan tindakan pihak berkaitan enggan memberi kerjasama, sebaliknya mengambil langkah membuat laporan polis sebagai sesuatu yang dikesali.
Kenyataan itu merujuk kepada laporan Kementerian Sumber Manusia telah membuat laporan polis berhubung pendedahan oleh portal berita Malaysiakini, walaupun pihak kementerian didakwa telah beberapa kali ditawarkan ruang untuk memberikan penjelasan.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang wartawan kanan Malaysiakini sebelum ini dilaporkan berdepan tindakan siasatan susulan laporan mengenai sistem pengambilan pekerja asing, termasuk serbuan polis ke kediamannya.
Mengulas perkara itu, Geramm menyatakan solidariti terhadap pengamal media dan menegaskan prinsip “Kewartawanan Bukan Jenayah” (Journalism is Not A Crime) sebagai asas penting dalam menjamin kebebasan media.
NGO itu menekankan, dalam isu melibatkan kepentingan awam, kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan amat penting bagi memastikan maklumat yang tepat dan telus dapat disampaikan kepada rakyat tanpa tekanan atau gangguan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L