BLOOMINGTON – Sekurang-kurangnya sembilan cedera, termasuk seorang remaja, dalam kes tembakan rambang berhampiran kampus Universiti Indiana di Bloomington awal pagi Ahad, menurut pihak berkuasa tempatan.
Polis Bloomington memaklumkan, tembakan dilepaskan sekitar jam 12.25 tengah malam di sepanjang Kirkwood Avenue, kawasan tumpuan orang ramai yang ketika itu dipenuhi pengunjung berikutan sambutan acara perlumbaan basikal tahunan ‘Little 500’.
Apabila anggota polis tiba di lokasi, mereka menemui beberapa individu yang cedera dan segera memberi bantuan perubatan.
Kesemua mangsa dibawa ke hospital berhampiran, sebahagian daripada mereka dilaporkan cedera akibat tembakan atau serpihan peluru, manakala selebihnya mengalami kecederaan ketika cuba melarikan diri dari kawasan kejadian.
Polis berkata, kebanyakan mangsa telah menerima rawatan dan dibenarkan pulang, dengan sekurang-kurangnya seorang masih dirawat dalam keadaan stabil.
Siasatan awal mendapati kes itu berpunca daripada pertengkaran yang tercetus sebelum beberapa individu melepaskan tembakan ke arah orang ramai.
Polis percaya dua lelaki terbabit melepaskan tembakan, namun setakat ini tiada tangkapan dibuat.
Pihak berkuasa turut menegaskan kejadian tersebut tidak membabitkan pelajar Universiti Indiana.
Universiti Indiana dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya bekerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan undang-undang dan menasihatkan orang ramai mengelakkan kawasan berkenaan sementara siasatan diteruskan.
Polis turut meminta saksi kejadian atau mereka yang memiliki rakaman video tampil membantu siasatan. – AGENSI
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L