Bila “Jalan Tikus” Jadi Kebanggaan: Isyarat Apa Kepada Anak Muda?

Dari Editorial ND

PELIK juga bila yang bercakap soal moral dan agama, akhirnya dilihat seperti menghalalkan perkara yang jelas-jelas mengundang persoalan.

Program konvoi bermotor yang diraikan itu, kalau sekadar himpun anak muda untuk aktiviti sihat, mungkin tidak menjadi isu besar.

Tapi bila naratif yang dibawa seolah mengagungkan tindakan mengelak sekatan jalan raya, itu sudah lari daripada landasan yang sepatutnya.

Lebih membimbangkan, ia bukan datang daripada orang biasa, tetapi daripada wakil rakyat (Ahli Dewan Undangan Negeri – ADUN) di negeri Serambi Mekah. Negeri yang berslogankan Membangun Bersama Islam.

Apabila beliau dengan bangga menceritakan bagaimana peserta menggunakan “jalan tikus” untuk melepasi penguat kuasa, mesej yang sampai kepada anak muda bukan lagi soal disiplin atau kepatuhan undang-undang.

Iklan

Sebaliknya, ia seperti satu “kelas tidak rasmi” mengenai cara mengelak pihak berkuasa. Ini bukan sekadar salah dari sudut undang-undang, malah bercanggah dengan prinsip asas yang sering dilaungkan iaitu patuh kepada peraturan dan menjaga akhlak.

Persoalannya mudah: apakah ini contoh kepimpinan yang mahu ditonjolkan? Jika tindakan melanggar sekatan boleh dianggap satu kejayaan, di mana letaknya nilai tanggungjawab?

Lebih janggal apabila perkara ini dibungkus dengan retorik tekanan politik, seolah semua itu menghalalkan tindakan yang diambil.

Dalam masa yang sama, rakyat tidak lupa isu lebih besar iaitu soal pembangunan dan kesejahteraan. Setelah puluhan tahun memerintah, harapan rakyat bukan sekadar program bermusim atau acara yang bersifat hiburan.

Mereka menunggu inisiatif yang benar-benar mengubah taraf hidup, membuka peluang ekonomi dan memberi masa depan lebih baik kepada generasi muda.

Apa yang lebih merisaukan, pendekatan seperti ini boleh membentuk budaya yang salah dalam jangka panjang. Anak muda bukan sahaja melihat, tetapi meniru.

Bila tokoh yang sepatutnya menjadi teladan menunjukkan bahawa “bijak mengelak” lebih dihargai daripada “patuh kepada undang-undang”, maka kita sedang menyemai benih sikap tidak bertanggungjawab.

Hari ini mungkin sekadar konvoi, esok lusa mungkin melibatkan perkara yang lebih besar dan berisiko.

Lebih ironis, pihak yang sama sering menegaskan kepentingan membina generasi berakhlak dan berdisiplin. Namun, dalam praktiknya, mesej yang dihantar bercanggah dengan seruan tersebut.

Kepimpinan bukan sekadar berkata-kata di pentas, tetapi juga melalui contoh dan tindakan. Setiap kenyataan mempunyai implikasi, lebih-lebih lagi apabila ia datang daripada individu yang mempunyai pengaruh.

Rakyat sebenarnya tidak menuntut sesuatu yang luar biasa. Mereka hanya mahukan kepimpinan yang konsisten iaitu kata selari dengan perbuatan, prinsip tidak berubah mengikut situasi.

Dalam konteks ini, isu konvoi dan “jalan tikus” mungkin kelihatan kecil, tetapi ia mencerminkan sesuatu yang lebih besar mengenai cara berfikir dan keutamaan.

Kalau akhirnya anak muda diraikan dengan aktiviti yang menguji undang-undang, sementara keperluan asas pembangunan masih terabai, tidak hairanlah ada yang mula mempersoalkan keutamaan sebenar kepimpinan.

Retorik boleh kedengaran indah, tetapi realiti di lapangan tetap menjadi ukuran. Dan selagi jurang antara kata dan tindakan ini tidak dirapatkan, selagi itulah persoalan demi persoalan akan terus timbul.

Acara kemuncak Konvoi Mat Moto bersama wakil rakyat itu ditutup dengan ucapan oleh ADUN Melor, Wan Rohimi Wan Daud di kawasan belakang Aeon Mall, Kota Bharu pada lewat petang.

Dalam ucapannya, beliau cuba merangkum keseluruhan perjalanan program, termasuk cabaran-cabaran yang dihadapi sepanjang konvoi berlangsung.

Beliau memulakan dengan memohon maaf kepada para peserta atas kelewatan yang berlaku, sambil menjelaskan ianya berpunca daripada beberapa sekatan jalan raya yang diadakan oleh pihak berkuasa di laluan utama.

Menurut Wan Rohimi, konvoi tersebut berdepan dengan tidak kurang daripada tujuh sekatan jalan raya sepanjang perjalanan. Namun, apa yang ditekankan bukan sekadar cabaran itu sendiri, tetapi bagaimana peserta bertindak balas terhadapnya.

Dengan nada yang dilihat agak bangga, beliau mendakwa para peserta berjaya mengelak sekatan-sekatan tersebut dengan menggunakan laluan alternatif termasuk “lorong tikus”, sekali gus membolehkan mereka meneruskan perjalanan tanpa gangguan besar sehingga berjaya tiba di lapangan terbang seperti yang dirancang.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para peserta yang tetap menunjukkan komitmen tinggi walaupun program dianjurkan dalam tempoh notis yang singkat.

Baginya, kehadiran dan semangat peserta membuktikan sokongan yang kuat terhadap penganjuran program tersebut. Malah, beliau menyifatkan keseluruhan acara sebagai berjaya, walaupun terpaksa berdepan pelbagai cabaran di sepanjang perjalanan.

Dalam masa yang sama, ucapan tersebut turut diselitkan dengan nada kritikan terhadap pihak kerajaan. Wan Rohimi mendakwa tekanan tertentu telah dikenakan, termasuk arahan kepada agensi penguat kuasa seperti JPJ dan polis untuk mengadakan sekatan jalan raya bagi menyekat pergerakan konvoi tersebut.

Beliau secara terbuka mengaitkan perkara itu dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang didakwanya bersungguh-sungguh mengarahkan tindakan penguatkuasaan tersebut.

Dengan mengangkat naratif “tekanan” itu, beliau cuba menggambarkan bahawa kejayaan konvoi tersebut bukan sekadar kejayaan logistik, tetapi juga satu bentuk kejayaan menghadapi halangan luar.

Dalam kerangka itu, tindakan peserta yang berjaya mengelak sekatan dilihat sebagai simbol kecekalan dan kebijaksanaan dalam memastikan program tetap berjalan seperti dirancang.

Mengakhiri ucapannya, beliau menyatakan harapan agar program seumpama itu dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang, malah dengan skala yang lebih besar dan penyertaan yang lebih ramai.

Acara tersebut turut diserikan dengan kehadiran beberapa ADUN lain seperti ADUN Pulai Chondong, ADUN Gual Periok dan ADUN Kemuning, yang bersama-sama menunjukkan sokongan terhadap penganjuran program berkenaan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *