ISLAMABAD – Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berlepas ke Russia ketika usaha damai antara Tehran dan Washington terus buntu, susulan gelombang diplomasi serantau dan kegagalan rundingan yang dirancang di Pakistan.
Araghchi yang akan ke Islamabad turut melawat Oman, dan dijangka bertemu Presiden Vladimir Putin hari ini, menurut duta Iran.
Kelmarin, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, membatalkan lawatan yang dirancang ke Islamabad oleh utusannya, Steve Witkoff dan Jared Kushner.
Sebagai tanda usaha masih berjalan, agensi berita Fars melaporkan Iran telah menghantar ‘mesej bertulis’ kepada pihak AS melalui Pakistan sebagai pengantara, yang menegaskan garis merah termasuk isu nuklear dan Selat Hormuz.
Bagaimanapun, Fars menyatakan mesej itu bukan sebahagian daripada rundingan rasmi.
Gencatan senjata dalam perang AS-Israel dengan Iran setakat ini masih bertahan, namun kesan kejutan ekonominya terus dirasai pada di peringkat global.
Iran menutup Selat Hormuz, sekali gus mengekang aliran minyak, gas dan baja serta melonjakkan harga, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan makanan di negara membangun.
Harapan untuk rundingan tertumpu kepada lawatan yang dirancang oleh Witkoff dan Kushner, namun Trump membatalkan perjalanan itu dengan menyifatkannya sebagai ‘sekadar duduk berbincang tanpa hasil’.
Semalam, Trump memberitahu Fox News bahawa jika Iran mahukan rundingan, ‘mereka boleh datang kepada kami, atau mereka boleh menghubungi kami.’
Trump berdepan tekanan domestik susulan kenaikan harga bahan api selepas penutupan Hormuz oleh Iran, dengan pilihan raya pertengahan penggal dijadualkan pada November.
Ketika ditanya sama ada pembatalan itu menandakan kemungkinan pertempuran disambung semula, Trump berkata: “Tidak, itu tidak bermakna demikian”.
Pada Sabtu, Araghchi bertemu Ketua Tentera Pakistan, Asim Munir; Perdana Menteri, Shehbaz Sharif dan Menteri Luar Ishaq Dar, sebelum ke Oman dan kembali ke Islamabad.
Beliau kemudian berlepas ke Russia untuk mengadakan rundingan dengan pegawai kanan, menurut kementeriannya.
Russia mengesahkan lawatan itu namun tidak menyatakan sama ada beliau akan bertemu Putin. – AFP
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L