KUALA LUMPUR –UMNO mencatat permulaan yang cemerlang dalam usaha menyemarakkan sokongan dalam kalangan anak muda apabila sistem pendaftaran keahlian secara dalam talian berjaya menarik 3,716 ahli baharu dalam tempoh kurang 24 jam.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menyatakan, majoriti ahli baharu yang mendaftar terdiri daripada golongan pemuda dengan 2,413 individu atau 65 peratus daripada keseluruhan pendaftaran.
Turut mencuri tumpuan ialah kategori ahli biasa (22 peratus), diikuti Wanita (7 peratus) dan Puteri (6 peratus).
Ia membuktikan keberkesanan pendekatan digital yang diperkenalkan parti itu bagi memudahkan proses penyertaan.
“Sebagai peneraju sistem ini, saya mengambil masa untuk menyemak dan meluluskan setiap permohonan dengan teliti.
Walaupun agak letih, namun sambutan hangat ini amat mengujakan,” ujar beliau menerusi hantaran di Facebook.
Sistem pendaftaran dalam talian yang diperkenalkan hasil pindaan Peraturan Keahlian UMNO bertujuan membuka lebih banyak ruang kepada anak-anak muda untuk menyertai parti dan memperkukuh pasukan parti dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
“Berdasarkan tinjauan di media sosial oleh sayap Pemuda dan Puteri UMNO, kami mendapati lebih 2,800 golongan muda sudah menunjukkan minat yang tinggi untuk bersama UMNO,” tambah beliau.
Asyraf Wajdi turut merakamkan penghargaan kepada semua yang memilih untuk turut serta dalam perjuangan parti, melihat perkembangan ini sebagai petanda baik bahawa generasi muda semakin cakna terhadap politik tanah air.
Dengan pelancaran sistem pendaftaran secara online ini, UMNO dijangka mampu mempercepatkan proses pengambilan ahli baharu secara lebih efektif dan inklusif.
Berita ini diolah semula oleh NurFarhana Zulkeply. Beliau adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L