UCTATI Teroka Dunia Perlumbaan Automatif Pacu TVET

KEMAMAN – Usaha memperkasa pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) terus diperkukuh apabila UCTATI Racing Team menjadikan pentas perlumbaan automotif sebagai makmal sebenar pembelajaran berimpak tinggi buat pelajar mereka.

Pasukan dari institusi pendidikan tinggi (IPT) yang berpangkalan dari Kemaman, Terengganu itu bakal menguji kemampuan dalam Kejuaraan Formula Student Malaysia (FMS) yang dijadual berlangsung di Litar Dato Sagor bermula 21 April ini, sekali gus menghidupkan kembali penyertaan mereka dalam saingan berprestij tersebut.

Pengurus pasukan, Mohd Saifuldin Mohd Mokhtar, berkata setiap peluang dan ruang dari penganjuran perlumbaan ini seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin dan ianya bukan hanya untuk menaiki podium semata-mata.

Ianya bermula seawal pembinaan jentera perlumbaan yang melibatkan pelbagai disiplin pengajian seperti kejuruteraan mekanikal, elektrikal dan lain-lain termasuk pengurusan sesuatu organisasi atau pasukan lumba ini yang memberi tambah nilai setelah bergelar graduan nanti.

“Sudah tentu podium adalah impian setiap pasukan bertanding namun ini adalah pendedahan menyeluruh kepada pelajar. Mereka terlibat secara langsung dalam pembangunan jentera, analisis prestasi serta pengurusan pasukan, yang semuanya mencerminkan keperluan sebenar industri untuk kerjaya masa depan mereka kelak,” katanya yang juga merupakan tenaga pengajar di fakulti teknologi kejuruteraan di sini.

Jelasnya lagi, pengalaman berada dalam persekitaran kompetitif turut membentuk kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan dan penyelesaian masalah dalam kalangan pelajar.

UCTATI Racing Team mempertaruhkan dua jentera lumba satu tempat duduk berkonsepkan Formula yang dibangunkan sepenuhnya oleh pelajar dengan bimbingan tenaga pengajar institusi tersebut, selaras dengan aspirasi melahirkan tenaga kerja mahir berteraskan TVET.

Bagi pelumba pasukan, Che Hanif Haikal Che Mat, peluang mengendalikan jentera ‘Redshark’ dianggap sebagai pengalaman penting dalam perjalanan kerjayanya.

“Perasaan berdebar itu sudah tentu ada kerana ini adalah pengalaman pertama saya untuk berlumba secara kompetitif di dalam litar lumba yang sebenar.  Ia menguji keupayaan kami sebagai pelajar untuk mengaplikasikan ilmu dalam situasi sebenar,” katanya.

Rakannya, Eizzedin Afkar Azil Hizaq yang memandu ‘Blueshark’, turut optimis pasukan mampu memberi saingan walaupun berdepan pasukan lain yang berpengalaman.

“Fokus kami adalah untuk mencatat masa terbaik dan memanfaatkan setiap peluang di litar. Pengalaman ini sendiri sudah cukup berharga buat kami,” ujarnya.

Formula Student Malaysia merupakan pertandingan kejuruteraan berasaskan perlumbaan yang menghimpunkan pelajar institusi pengajian tinggi bagi mereka bentuk dan membangunkan jentera masing-masing.

Program ini dianjurkan di bawah rangkaian SAE International yang berperanan memacu pembangunan standard industri berkaitan automotif serta pendidikan STEM di peringkat global.

Penyertaan UCTATI Racing Team dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh peranan TVET sebagai pemangkin pembangunan bakat teknikal negara, khususnya dalam bidang automotif berprestasi tinggi. – Hjx Karim

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *