Olahan Fatin Sajidah Fathuldin
KUALA LUMPUR – Usaha diplomasi berprofil tinggi Malaysia membuahkan hasil apabila kapal tangki negara diberikan laluan selamat merentasi Selat Hormuz tanpa dikenakan sebarang caj transit oleh Iran.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dilaporkan menggunakan pendekatan diplomasi secara langsung menerusi perbualan dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, sekali gus membuka laluan kepada kapal Malaysia dalam situasi geopolitik yang tegang.
Keputusan luar biasa itu membolehkan Malaysia mengelakkan kos tambahan sehingga USD2 juta (kira-kira RM9.5 juta) bagi setiap kapal, susulan tindakan Tehran sebelum ini mengenakan yuran transit ketat ke atas kapal asing yang melalui laluan strategik tersebut.
Perkembangan ini amat penting memandangkan kira-kira 50 peratus penghantaran minyak Malaysia melalui Selat Hormuz, manakala 89 peratus import minyak mentah berat dari Teluk Parsi bergantung kepada laluan berkenaan.
Selain rundingan antara kedua-dua pemimpin, peranan Menteri Luar, Mohamad Hasan turut membantu memastikan tujuh kapal Malaysia berjaya meneruskan pelayaran pulang, termasuk empat yang membawa bekalan minyak mentah untuk kegunaan domestik.
Pengerusi Bernama, Wong Chun Wai menyifatkan kejayaan itu sebagai satu pencapaian geopolitik besar yang mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai “pengantara jujur” di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, pendirian konsisten Malaysia yang berkecuali tetapi lantang dalam isu keadilan, termasuk melibatkan Iran dan konflik di Gaza, telah membina kepercayaan yang sukar dicapai oleh banyak kuasa besar dunia.
Sebelum ini, ketegangan di laluan tersebut telah memberi tekanan ekonomi, memaksa kerajaan menanggung kos tambahan termasuk peningkatan subsidi bahan api bagi menstabilkan harga domestik.
Pengecualian khas itu kini membantu melancarkan operasi penapisan minyak negara serta mengurangkan beban fiskal kerajaan dalam mengurus kos tenaga.
Pendekatan diplomasi sama sebelum ini turut membuahkan hasil apabila 23 sukarelawan Malaysia daripada misi Global Sumud Flotilla berjaya dibebaskan selepas ditahan Israel, hasil rundingan melibatkan beberapa pemimpin dunia termasuk Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdoğan.
Wong menegaskan pendekatan diplomasi yang diamalkan Anwar bukan sekadar simbolik, sebaliknya praktikal dalam dunia yang semakin terpolarisasi, selain membuka ruang kerjasama yang tidak mudah diperoleh negara lain.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L