Setahun Selepas Letupan Putra Heights, Penduduk Masih Bergelut Dengan Trauma

Olahan NurFarhana Zulkeply

KUALA LUMPUR – Genap setahun tragedi letupan paip gas di Putra Heights, kesannya masih dirasai penduduk yang terjejas, walaupun kehidupan perlahan-lahan kembali pulih.

Insiden yang berlaku pada 2 Syawal tahun lalu itu bukan sahaja mencetuskan panik, malah merubah sepenuhnya suasana di Kampung Kuala Sungai Baru apabila letupan kuat pada awalnya disangka sebagai bom atau nahas pesawat.

Walaupun kerosakan fizikal semakin dibaiki, trauma kejadian tersebut masih menghantui sebahagian mangsa, yang kini cuba membina semula kehidupan dengan semangat baharu.

Pengasas Maahad Tahfiz Vokasional Aman Bistari, Mohd Asri Yunus, meluahkan rasa syukur atas bantuan pelbagai pihak termasuk Jabatan Perdana Menteri Malaysia, PETRONAS, Majlis Bandaraya Subang Jaya serta komuniti setempat.

“Berkat sokongan semua pihak, kami mampu bangkit semula walaupun trauma masih ada,” katanya.

Menurut beliau, jumlah kemasukan pelajar ke pusat tahfiz itu turut terjejas berikutan kebimbangan ibu bapa terhadap aspek keselamatan.

Bagi pasangan Mohamad Nasir Abd Hamid dan Aliyah Ismail, tragedi itu kekal sebagai detik hitam apabila kediaman mereka musnah sepenuhnya.

Namun, Mohamad Nasir bersyukur apabila kini memiliki rumah baharu yang dibina oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad.

“Semuanya berjalan lancar dan rumah ini siap dengan cepat serta berkualiti,” katanya.

Sementara itu, Aliyah mengakui masih sedih kehilangan rumah di tanah pusaka keluarga, namun bantuan yang diterima menjadi kekuatan untuk meneruskan kehidupan.

Pada 1 April 2025, kebakaran besar melibatkan paip gas milik Petronas Gas Berhad berlaku sekitar jam 8.10 pagi, dengan api menjulang lebih 30 meter dan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius.

Tragedi itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya, 81 lagi rosak sebahagian dan 57 kediaman terjejas.

Dalam usaha pemulihan, PGB telah menyalurkan lebih RM2.7 juta dalam bentuk bantuan tunai dan perubatan, selain memperuntukkan RM25 juta bagi kerja pembaikan rumah melalui Kementerian Kewangan serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Selain itu, PGB turut memperkenalkan program sokongan kesihatan mental ‘TENANG’ serta inisiatif kesedaran ‘Awareness and Action’ (AnA) bagi membantu komuniti yang tinggal berhampiran paip gas.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *