KOTA TINGGI – Tiga individu maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 80, Jalan Johor Bahru-Mersing di sini, semalam.
Mangsa yang maut dikenal pasti pemandu Toyota Vios, Muhamad Shuhairil Soraiya, 21; penumpangnya, Nur Fatin Nabilah Yusrishahrun, 20; serta pemandu Honda City, Muhamad Amin Mukhtar, 35.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, siasatan awal mendapati Toyota Vios dipercayai terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Honda City.
Menurutnya, ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat ketiga-tiga mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian itu, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi dan BBP Mersing bergegas ke lokasi selepas menerima laporan pada jam 5.05 petang.
Mangsa yang tersepit dalam kenderaan berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas oleh anggota bomba.
Yusof berkata, siasatan berhubung punca sebenar kemalangan masih dijalankan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
