KUALA LUMPUR – SumiSaujana Group Bhd. mencatat pertumbuhan keuntungan jauh mengatasi peningkatan hasil pada suku kedua tahun kewangan 2026, apabila keuntungan sebelum cukai (PBT) melonjak kepada RM6.5 juta daripada RM2.1 juta setahun sebelumnya, sedangkan hasil meningkat 22.3 peratus kepada RM45.1 juta.
Keuntungan selepas cukai (PAT) turut meningkat kepada RM4.4 juta daripada RM1.3 juta pada suku sama tahun lalu, manakala keuntungan kasar bertambah kepada RM15.8 juta daripada RM13.2 juta.
Lebih ketara, margin PBT kumpulan meningkat kepada 14.5 peratus daripada hanya 5.6 peratus setahun sebelumnya, walaupun margin keuntungan kasar susut sedikit kepada 34.9 peratus daripada 35.7 peratus akibat campuran produk dan peningkatan kos jualan.
SumiSaujana berkata, peningkatan keuntungan itu disokong pelarasan harga jualan, pengoptimuman kos yang berterusan serta ketiadaan perbelanjaan penyenaraian sekali sahaja dan kerugian pertukaran asing bersih yang direkodkan pada suku sama tahun lalu.
Secara suku ke suku, hasil meningkat 7 peratus daripada RM42.2 juta kepada RM45.1 juta, tetapi PBT melonjak 82.9 peratus daripada RM3.6 juta kepada RM6.5 juta. Margin keuntungan kasar pula meningkat kepada 34.9 peratus daripada 26.3 peratus pada suku pertama.
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SumiSaujana, Norazlam Norbi berkata, pihaknya berasa terdorong dengan peningkatan prestasi kumpulan sepanjang suku tahun ini, yang mencerminkan tumpuan berterusan terhadap disiplin dan pelaksanaan operasi.
Beliau berkata, kumpulan terus mengukuhkan kehadirannya merentasi pasaran utama sambil memajukan inisiatif strategik termasuk kerjasama poliol berasaskan bio dan peluang berkaitan teknologi Asid Sulfurik Gas Basah (WSA).
“Kami kekal komited untuk memberikan pertumbuhan yang mampan dan mewujudkan nilai jangka panjang untuk para pemegang saham,” katanya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Dari segi geografi, Thailand menjadi penyumbang hasil terbesar pada suku kedua dengan RM15.2 juta, mengatasi Malaysia pada RM12.8 juta. Amerika Syarikat dan Oman masing-masing menyumbang RM5.3 juta dan RM3.2 juta.
Bagi enam bulan pertama 2026, hasil kumpulan meningkat 16.9 peratus kepada RM87.3 juta daripada RM74.7 juta, manakala PBT melonjak 85.8 peratus kepada RM10.1 juta dan PAT meningkat 74.3 peratus kepada RM6.9 juta.
Pada masa sama, SumiSaujana meneruskan percubaan pembuatan poliol berasaskan bio bersama Zhangjiagang CoolisT Life Technology Co Ltd, manakala projek WSA di Indonesia masih dalam peringkat penilaian.
Kumpulan turut memajukan kerjasama dengan TOPSOE A/S bagi meneroka aplikasi teknologi WSA di Malaysia dan Indonesia.
Setakat 30 Jun 2026, kumpulan sudah menggunakan RM68.6 juta daripada hasil IPO RM74.4 juta, terutama untuk pembelian gudang dan pejabat korporat baharu di Puncak Alam, pengambilalihan kilang sedia ada, perbelanjaan modal serta pengembangan bahagian penyelidikan dan pembangunan.
Melangkah ke hadapan, SumiSaujana kekal optimis secara berhati-hati terhadap prospek sektor O&G bagi baki 2026, disokong aktiviti huluan, permintaan tenaga di Asia Pasifik dan perbelanjaan modal syarikat minyak serantau.
Namun, kumpulan terus memantau risiko geopolitik, kos bahan mentah dan logistik sambil memberi tumpuan kepada disiplin kos, kecekapan operasi dan pengurusan modal kerja.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
