Oleh Profesor Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin
KEHADIRAN bulan Ogos setiap tahun menjadi pemangkin kepada semangat patriotisme rakyat dalam menghayati erti kemerdekaan negara. Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini bakal memuncak pada 31 Ogos di Putrajaya dengan mengangkat tema ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’.
Momentum kebersamaan ini akan dibawa ke Kuching, Sarawak bagi kemuncak sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.
Mencapai kemerdekaan kira-kira 69 tahun yang lalu, atau lebih tepat pada tahun 1957, selepas berakhirnya penjajahan British merupakan satu pencapaian bersejarah yang sangat bernilai bagi negara.
Kemerdekaan bukan sekadar membebaskan tanah air daripada belenggu penjajahan, malah menjadi titik tolak kepada pembinaan sebuah negara bangsa yang berdaulat, aman dan terus berkembang.
Sewajarnya rakyat mensyukuri nikmat kemerdekaan yang sedang dikecapi pada hari ini. Lebih penting, kemerdekaan yang diwarisi ini merupakan amanah yang perlu dipelihara dan dipertahankan agar terus dapat dinikmati oleh generasi masa kini dan akan datang.
Justeru, semangat patriotisme, perpaduan dan kecintaan terhadap negara perlu terus disemai dalam diri setiap rakyat supaya nilai kemerdekaan sentiasa dihargai dan tidak sekadar dikenang sebagai catatan sejarah.
Wira negara yang gugur di medan perjuangan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Ramai tokoh dan wira negara telah mencurahkan bakti serta mengorbankan jiwa dan raga dalam perjuangan mempertahankan tanah air daripada terus dijajah oleh pihak luar.
Ada antara mereka yang sempat menyaksikan detik bersejarah kemerdekaan, namun tidak kurang yang gugur di medan perjuangan sebelum sempat menikmatinya. Pengorbanan mereka menjadi sebahagian daripada sejarah yang sangat bernilai harganya dan wajar terus dikenang oleh generasi sepanjang zaman.
Antara wira yang gugur demi mempertahankan tanah air ialah Allahyarham Leftenan (Lt.) Adnan Bin Saidi. Keberanian dan semangat juang dalam mempertahankan negara menjadikannya antara tokoh yang terus dikenang sebagai lambang keberanian, keteguhan prinsip dan kecintaan yang tidak berbelah bahagi terhadap tanah air.
Dari pendidik ke Bukit Chandu
Dilahirkan pada tahun 1915 di Kampung Sungai Ramal, Kajang, Selangor, Adnan merupakan anak sulung dalam keluarganya. Dua adiknya, Ahmad Saidi dan Amarullah Saidi juga merupakan anggota tentera.
Adnan mendapat pendidikan rendah dan menengah di Pekan Sungai Ramal dalam aliran Inggeris.
Selepas menamatkan persekolahan, Adnan terpilih sebagai guru pelatih dan mengajar selama lebih setahun.
Walau bagaimanapun, atas minat yang mendalam Adnan mengambil keputusan untuk menyertai pasukan tentera. Pada usia 18 tahun, beliau menyertai Rejimen Askar Melayu dan setahun kemudian dipilih sebagai rekrut terbaik. Setelah menamatkan kursus sebagai Leftenan Muda di Singapura, Adnan dilantik sebagai ketua Platun ke-7, Kompeni ‘C’.
Pada akhir tahun 1941, Lt. Adnan ditempatkan di Singapura dan membawa keluarganya bersama-sama. Apabila berita peperangan Perang Dunia ke-2 semakin hampir, dan pihak Jepun bersedia untuk menjajah Singapura, Lt. Adnan menghantar keluarganya kembali ke kampung di Kajang. Ini merupakan masa yang getir bagi Lt. Adnan kerana isterinya sedang mengandungkan anak mereka yang ketiga.
Pendaratan tentera Jepun memaksa tentera British berundur ke Singapura, dan pertempuran akhir mempertahankan pulau tersebut meletus di Pasir Panjang, yang lebih dikenali sebagai Pertempuran Bukit Chandu.
Dalam keadaan Lt. Adnan yang cedera parah, beliau tetap enggan berundur. Sebaliknya, mengarahkan pasukannya berjuang sehingga ke titisan darah terakhir. Keberaniannya telah menaikkan semangat juang pasukannya untuk bertahan bersunguh-sungguh.
Pertempuran yang sengit tersebut menyaksikan gugurnya seorang wira Melayu yang begitu digeruni oleh musuh. Beliau meninggal dunia pada 14 haribulan Februari 1942 ketika berusia 27 tahun.
Pengiktirafan tertinggi seberang tambak
Meskipun jasadnya telah lama gugur di bumi Pasir Panjang, namun impak keberanian beliau melampaui sempadan waktu sehinggakan kerajaan Singapura mengambil langkah luar biasa berdekad lamanya selepas itu.
Bukti paling nyata adalah pada 5 Jun 2019, apabila Presiden Singapura ketika itu, Halimah Yacob, melancarkan wang kertas komemoratif 20 Dolar sempena memperingati ulang tahun ke-200 negara tersebut. Mata wang ini digubah khusus untuk memberi penghormatan kepada generasi nenek moyang dan tokoh yang meletakkan asas untuk Singapura moden.
Bahagian hadapan mata wang tersebut memaparkan potret Presiden Singapura Pertama, Yusof Ishak selain bangunan lama Mahkamah Agung dan Dewan Bandar Raya, yang kini dijadikan Galeri Nasional Singapura.

Bahagian belakang wang berkenaan pula kelihatan lapan individu yang telah memberikan sumbangan besar kepada pembangunan negara berkenaan dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, budaya, khidmat masyarakat, sukan dan ketenteraan.
Apa yang menarik perhatian penulis adalah mengenai potret salah seorang tokoh yang kelihatan pada mata wang tersebut. Benarlah kata peribahasa, “Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.” Beliau yang dimaksudkan ialah Lt. Adnan Bin Saidi (Dalam bulatan).
Allahyarham bersama-sama tujuh tokoh besar lain iaitu Munshi Abdullah (Bapa Sastera Melayu Moden), Henry Nicholas Ridley (Pengarah Pertama Taman Botani), Tan Kah Kee dan Govindasamy Pillai (ahli perniagaan dan ahli filantrofi) menghiasi wang peringatan tersebut. Selain itu, Teresa Hsu Chih (aktivis masyarakat), Alice Pennefather (ahli sukan), dan Dr. Ruth Wong Hie King (tokoh pendidik).
Kehadiran anak watan Selangor itu dalam kelompok elit mata wang Singapura membuktikan betapa nilai keperwiraannya diiktiraf secara rasmi oleh negara jiran.
Jasamu dikenang
Sebagai mengenang jasa beliau, kedua-dua buah negara iaitu Malaysia dan Singapura terus mengabadikan namanya melalui pelbagai medium agar tidak tenggelam ditelan zaman.
Antaranya, penamaan Sekolah Kebangsaan Leftenan Adnan di Kajang, Selangor, yang merupakan sekolah yang pernah dikaitkan dengan zaman awal kehidupan beliau, serta Sekolah Panglima Adnan di Teluk Kemang, Port Dickson.
Pada 2008, novel berjudul Leftenan Adnan Wira Bangsa telah dihasilkan oleh Abdul Latip Talib, manakala buku, Leftenan Adnan Saidi Pahlawan Bukit Chandu karya Ramli Abu Bakar, diterbitkan pada 2015 oleh Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Filem epik berjudul Leftenan Adnan, arahan Aziz M. Osman pernah ditayangkan pada 31 Ogos 2000 sempena sambutan hari kemerdekaan tahun itu, dengan Hairie Othman melakonkan watak Lt Adnan.
Di Singapura pula, selain potretnya diabadikan pada mata wang 20 Dolar, plak peringatan perang khas telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Singapura Pertama, Lee Kuan Yew pada tahun 1995 di Kent Ridge Park sebagai menghargai pengorbanan Lt. Adnan dan pasukannya.
Jelas bahawa, usaha sedemikian bukan sekadar bertujuan mengenang seorang tokoh masa lalu, tetapi untuk menyampaikan mesej kepada generasi hari ini bahawa kemerdekaan, keamanan, dan kedaulatan yang dinikmati negara tidak datang dengan mudah. Sebaliknya, semuanya terbina atas keberanian, kesetiaan, dan pengorbanan para pejuang seperti Lt. Adnan.
Oleh itu, seluruh lapisan masyarakat perlulah bersatu padu mengekalkan nikmat kemerdekaan ini agar titisan darah para pejuang silam dihargai sepanjang zaman.
Profesor Dr. Mohd Yahya Mohamed Ariffin ialah Presiden Persatuan Pendidikan Komunikasi Malaysia (MACE) dan Profesor, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
