Olahan: Fatin Sajidah Fathuldin
JOHOR BAHRU – Tindakan tegas diambil pihak berkuasa apabila tiga individu termasuk seorang remaja ditahan kerana disyaki menyebarkan kandungan berunsur fitnah dan penghinaan terhadap institusi diraja serta kepimpinan negara melalui media sosial.
Ketua Polis Johor, Ab Rahaman Arshad berkata, tangkapan melibatkan dua wanita dan seorang lelaki berusia antara 17 hingga 49 tahun itu dilakukan di Taman Saujana.
Menurut beliau, semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil ujian saringan awal air kencing juga didapati negatif.
Tambahnya, antara kandungan yang dikesan termasuk dakwaan palsu berkaitan penyediaan teks ucapan diraja, penyalahgunaan dokumen pengenalan diri, tuduhan rasuah terhadap Jabatan Agama Islam Negeri Johor serta dakwaan mengelirukan berkaitan ibadah solat.
Siasatan awal turut mendapati akaun TikTok ‘ratunurputribalqis’ digunakan untuk menyebarkan fitnah terhadap Sultan Johor dan Perdana Menteri, selain memuat naik kandungan yang menghina agama Islam serta membawa unsur ajaran menyimpang.
Dalam operasi tersebut, polis turut merampas beberapa barangan termasuk telefon bimbit dan dokumen skrip yang dipercayai digunakan untuk menghasilkan kandungan berkenaan.
Kesemua suspek kini direman selama empat hari sehingga 3 April bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 serta Seksyen 298 dan 500 Kanun Keseksaan.
Polis menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan platform media sosial untuk mencetuskan provokasi atau menggugat keharmonian negara.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L