Bayaran RM9.5 Juta Didakwa Untuk Hentikan Tekanan “Mafia Korporat”, Individu Terbabit Nafi Unsur Rasuah

SHAH ALAM – Ahli perniagaan Victor Chin Boon Long yang dikaitkan dengan dakwaan pembayaran RM9.5 juta tampil menjelaskan, bayaran tersebut bukan untuk mempengaruhi mana-mana agensi penguatkuasaan atau menutup siasatan, sebaliknya dibuat dalam keadaan terdesak bagi menghentikan tekanan daripada kumpulan yang didakwa sebagai “mafia korporat”.

Dalam satu kenyataan yang diemel kepada NasionalDaily, Victor Chin menegaskan, bayaran itu bukan dibuat untuk “kaw tim” pihak berkuasa atau menyelesaikan sebarang tuduhan salah laku terhadap dirinya.

Sebaliknya, beliau menyifatkan pembayaran tersebut sebagai “yuran perkhidmatan” yang dilakukan dalam situasi luar biasa bagi menghentikan tindakan bermusuhan terhadap individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengannya.

Menurutnya, beliau dimaklumkan wang berjumlah RM9.5 juta itu akan disalurkan kepada kumpulan “mafia korporat” bagi memastikan mereka menghentikan tekanan, selain memberi ruang kepadanya untuk meneruskan kehidupan tanpa gangguan lanjut.

Beliau turut mendakwa berada di bawah tekanan hebat daripada kumpulan berkenaan, yang didakwa memaksanya menyerahkan pegangan saham secara percuma.

“Bagi mencapai tujuan tersebut, mereka menyasarkan orang tersayang saya, rakan perniagaan, syarikat, rakan-rakan, malah individu yang hanya dianggap mempunyai kaitan dengan saya,” katanya.

Tambahnya lagi, lebih 500 akaun milik individu yang dipercayai berkaitan dengannya turut dibekukan, sekali gus menyebabkan gangguan besar terhadap operasi kewangan.

“Dalam sekelip mata, gaji tidak dapat dibayar dan komitmen seperti pinjaman perumahan serta kenderaan tidak dapat diselesaikan. Semua pihak terlibat berada dalam keadaan panik dan tekanan kewangan serta mental yang serius,” jelasnya.

Victor Chin berasa bersalah terhadap pihak yang terkesan dan menyatakan keputusan untuk membuat bayaran tersebut dibuat demi melindungi mereka daripada terus menjadi sasaran.

“Saya tidak mempunyai pilihan. Saya lakukan ini untuk melindungi mereka dan menamatkan kesengsaraan kewangan yang mereka hadapi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan, bayaran berkenaan hanyalah satu langkah reaktif bagi memastikan kumpulan tersebut menghentikan tindakan yang disifatkan sebagai melampau.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan ketenangan fikiran adalah lebih penting daripada kekayaan material dan menegaskan kesediaannya untuk melakukan apa sahaja demi melindungi pihak yang berkait dengannya.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi mengalu-alukan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) atau sebarang bentuk siasatan bebas bagi merungkai sepenuhnya isu berkenaan.

“Saya berharap siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus dan tanpa berat sebelah, melibatkan semua pihak yang terlibat atau mempunyai kaitan dan tidak hanya tertumpu kepada saya sebagai individu,” katanya.

Isu ini terus mendapat perhatian ramai dan dijangka menjadi fokus utama pihak berkuasa dalam memastikan kebenaran dapat dibongkar serta tindakan sewajarnya diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *