ANGKASA Jadi Tonggak Pembangunan Ekonomi Koperasi Negara

KUALA LUMPUR – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) kekal memainkan peranan penting sebagai badan puncak gerakan koperasi Malaysia yang diiktiraf kerajaan bagi menyatukan serta mewakili koperasi di peringkat nasional dan antarabangsa.

Selain berfungsi sebagai suara utama sektor koperasi negara, ANGKASA turut menyediakan pelbagai khidmat sokongan kepada gerakan koperasi termasuk kemudahan sistem potongan gaji untuk kakitangan kerajaan, badan berkanun, kelab, koperasi dan kesatuan.

Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA yang Pegawai Khas Presiden ANGKASA, Halim Ibrahim berkata, dalam usaha memperkukuh daya saing sektor ini, ANGKASA melaksanakan pelbagai program transformasi perniagaan dan pembangunan keusahawanan koperasi merangkumi sektor berimpak tinggi seperti kewangan, pertanian dan industri asas tani, pemborongan dan peruncitan, pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan, perladangan, hartanah dan industri binaan, inovasi serta teknologi, selain pembangunan komuniti.

Kata beliau, statistik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sehingga Jun 2025 terdapat sebanyak 16,342 koperasi berdaftar di Malaysia dengan jumlah keanggotaan sekitar 7.4 juta individu.

“Gerakan koperasi tersebut merekodkan syer dan yuran sebanyak RM18.48 bilion serta aset bernilai RM267.9 bilion, manakala perolehan tahunan mencecah RM40.4 bilion.

“Bagi tahun 2024, keseluruhan perolehan gerakan koperasi negara dilaporkan mencapai RM68.1 bilion, mencerminkan sumbangan signifikan sektor itu kepada ekonomi domestik,” katanya pada majlis MoU MyANGKASA Holdings Sdn. Bhd. (MHSB) dengan Optimax Holdings Berhad di sini, semalam.

Jelas Halim, dari sudut tadbir urus dan pengurusan organisasi, ANGKASA turut menerima beberapa pensijilan antarabangsa termasuk Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001:2015, Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat ISO/IEC 27001:2013 serta Sistem Pengurusan Anti-Rasuah ISO 37001:2016.

Katanya, organisasi itu juga pernah menerima anugerah Cyber Security Organization of the Year bagi kategori Sistem Pengurusan Keselamatan Maklumat pada 2015.

“Memasuki lebih lima dekad penubuhan, ANGKASA terus komited memperjuangkan kepentingan gerakan koperasi serta memperkukuh peranannya sebagai instrumen pengagihan ekonomi lebih adil dan inklusif.

“Seiring dengan agenda pembangunan negara, organisasi ini turut menyokong pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 bagi memastikan sektor koperasi kekal berdaya tahan serta mampu menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan,” ujar beliau.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *