MyANGKASA Holdings perkukuh ekosistem perniagaan koperasi melalui rangkaian anak syarikat strategik

MyANGKASA Holdings Sdn Bhd (MHSB) terus memainkan peranan penting sebagai cabang pembangunan perniagaan kepada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dalam memperluaskan aktiviti komersial dan memperkukuh ekosistem ekonomi koperasi di Malaysia.

Ditubuhkan pada Disember 2012 dan mula beroperasi pada April 2013, MHSB bertanggungjawab mengurus serta mengembangkan pelbagai inisiatif perniagaan melalui kerjasama strategik dengan rakan kongsi dalam dan luar sektor koperasi.

Menurut Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Perniagaan MHSB, Amiruddin Abdullah, antara produk dan perkhidmatan utama ditawarkan termasuk Sistem Pelaporan Kredit ANGKASA dan Experian (SPeKAR), kemudahan pembiayaan Tawarruq, Program Pembantu Rumah Asing serta platform pendigitalan pendidikan GNIUS yang menyediakan perkhidmatan tuisyen dalam talian.

Kata beliau, bagi memperkukuh rangkaian perniagaannya, MHSB turut mengendalikan sembilan anak syarikat yang merangkumi pelbagai sektor ekonomi.

“Antara anak syarikat utama ialah MyANGKASA Amanah Berhad yang menawarkan perkhidmatan amanah patuh Syariah, manakala MyANGKASA Dialisis Sdn. Bhd. mengendalikan pusat dialisis bagi menyediakan rawatan berkualiti serta khidmat nasihat kepada koperasi yang berhasrat membangunkan kemudahan rawatan tersebut.

“Selain itu, MyANGKASA Farmasi Sdn. Bhd. menjalankan perniagaan farmasi dengan tiga cawangan di seluruh negara, sementara MyANGKASA Bina Sdn. Bhd. memberi tumpuan kepada pembangunan tanah milik koperasi dan ahli koperasi.

“Dalam sektor pelancongan pula, MyANGKASA Travel & Tours Sdn. Bhd. menyediakan perkhidmatan pelancongan domestik dan antarabangsa dengan lesen daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC),” katanya.

Sementara itu, katanya lagi, MyANGKASA Trading Sdn. Bhd. memfokuskan kepada operasi pemborongan dan peruncitan termasuk pembangunan produk melalui konsep sewaan atau pengeluaran peralatan asal (OEM), pembekalan barangan kepada koperasi serta aktiviti eksport ke pasaran antarabangsa.

Jelas beliau, selain entiti tersebut, MHSB turut mempunyai beberapa anak syarikat lain termasuk MyANGKASA Services Sdn. Bhd., MyANGKASA Green Technology Sdn. Bhd., MyANGKASA Ventures Sdn. Bhd. dan MyANGKASA Travel Sdn. Bhd.

Melalui rangkaian perniagaan ini, MHSB berperanan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi koperasi dengan memperluas peluang komersial, memperkukuh keupayaan koperasi serta meningkatkan daya saing sektor berkenaan dalam ekonomi negara.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *