KUALA LUMPUR – Pertikaian antara Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dengan bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memasuki fasa baharu apabila tokoh korporat itu memfailkan saman berhubung kandungan podcast yang didakwa mengandungi kenyataan fitnah terhadap dirinya.
Peguam Farhash, Datuk Seri Rajan Navaratnam mengesahkan writ saman dan Pernyataan Tuntutan difailkan pada 23 Oktober lalu selepas penelitian dibuat terhadap kandungan podcast diterbitkan menerusi saluran YouTube milik Rafizi.
Podcast bertajuk Dari Umno ke PKR: Zetrix – Kerajaan Bertukar, Kroni Berpindah? | YBM #68 itu disiarkan pada 16 Oktober lalu dengan tempoh hampir tiga jam 14 minit.
Menurut Rajan, beberapa perkara dibangkitkan dalam siaran itu menyentuh kepentingan perniagaan Farhash, hubungan korporat, dakwaan kaitannya dengan tokoh politik serta persoalan mengenai kronisme dan pemberian kontrak kerajaan.
Beliau berkata, dokumen mahkamah berkenaan sedang disampaikan kepada Rafizi mengikut tatacara ditetapkan undang-undang.
Langkah terbaharu ini turut menghidupkan semula pertikaian antara kedua-dua pihak yang sebelum ini pernah menyaksikan tuntutan supaya kenyataan berkaitan ditarik balik.
Pada Ogos tahun lalu, Farhash melalui firma guaman Tetuan Ahmad Deniel, Ruben & Co dilaporkan menuntut Rafizi membuat permohonan maaf secara terbuka, menarik balik serta memadam kenyataan yang dipertikaikan dalam tempoh 48 jam dan jika tuntutan itu tidak dipenuhi, tindakan undang-undang akan diambil.
Rajan berkata, saman terbaharu itu adalah tindakan kedua dimulakan Farhash terhadap Rafizi.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Anak guamnya, jelas beliau, berpendirian penerbitan kenyataan yang didakwa berunsur fitnah secara berulang mempunyai niat jahat dan boleh menjejaskan reputasinya.
Katanya, Farhash tidak menganggap dakwaan berkenaan sebagai perkara remeh, sebaliknya mahu pertikaian itu diselesaikan menerusi saluran kehakiman supaya segala persoalan dapat dinilai berdasarkan bukti dan peruntukan undang-undang.
“Anak guam saya memandang serius dakwaan sedemikian dan berpendirian dakwaan seumpama ini perlu ditangani melalui proses undang-undang yang sewajarnya serta diputuskan berdasarkan bukti dan undang-undang terpakai,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk meneliti perkara itu dan membuat keputusan sewajarnya.
Dengan pemfailan saman tersebut, pertikaian mengenai kandungan podcast berkenaan kini berpotensi dibawa ke proses perbicaraan sekiranya tidak diselesaikan lebih awal. Namun, dakwaan Farhash perlu dibuktikan melalui proses mahkamah, dan Rafizi juga berhak mengemukakan pembelaannya mengikut undang-undang.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
