MyANGKASA Holdings, Optimax jalin kerjasama perluas akses rawatan mata anggota koperasi

KUALA LUMPUR – MyANGKASA Holdings Sdn. Bhd. (MHSB) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Optimax Holdings Berhad bagi memperluaskan akses perkhidmatan kesihatan mata kepada lebih tujuh juta anggota koperasi di seluruh negara.

MHSB yang merupakan anak syarikat milik penuh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menjalin kerjasama strategik dengan Optimax Eye Specialist Centre untuk menyediakan pelbagai rawatan mata berkualiti kepada anggota koperasi serta ahli keluarga mereka.

Majlis pemeteraian MoU itu disaksikan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Mohamad Alamin di The Mines Resort & Golf Club, Selangor semalam.

Turut hadir, Presiden ANGKASA, Abdul Fattah Abdullah serta Timbalan Pengerusi Eksekutif Optimax, Tan Sri Dr. Tan Boon Hock.

MoU tersebut ditandatangani Naib Presiden ANGKASA merangkap Ahli Lembaga Pengarah MHSB, Che Mohd Shukree Che Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Optimax Eye Specialist Centre, Sandy Tan Sing Yee.

Melalui kerjasama ini, anggota koperasi berpeluang mendapatkan rawatan dan prosedur kesihatan mata melalui kemudahan Sistem Potongan Gaji ANGKASA dan mekanisme ini dijangka membantu meringankan beban kewangan anggota dalam mendapatkan rawatan mata berkualiti secara lebih terancang.

Program tersebut turut melibatkan tanggungan keluarga anggota koperasi, sekali gus memperluaskan akses kepada perkhidmatan kesihatan mata secara lebih sistematik.

Kerjasama berkenaan juga membuka peluang kepada anggota koperasi untuk mendapatkan rawatan di 24 cawangan Optimax di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak, selain menawarkan tempoh menunggu rawatan yang lebih pantas serta penggunaan teknologi oftalmologi terkini.

Ditubuhkan lebih tiga dekad lalu, Optimax Eye Specialist Centre antara pusat rawatan refraktif mata terawal di Malaysia yang menawarkan rawatan pembetulan rabun menggunakan teknologi moden.

Selain prosedur pembetulan rabun, pusat tersebut turut menyediakan rawatan bagi penyakit mata seperti katarak, glaukoma dan retinopati diabetik.

Menurut pihak terlibat, kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh portfolio perniagaan strategik MHSB, malah memperluaskan manfaat sosial kepada anggota koperasi melalui akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih mampu milik.

Dari sudut prospek industri, peningkatan kes rabun dan gangguan penglihatan dijangka terus memacu permintaan terhadap rawatan mata berkualiti dan inisiatif tersebut turut diunjurkan menyumbang kepada pertumbuhan perniagaan Optimax antara 20 hingga 30 peratus dalam tempoh akan datang.

Bagi sektor koperasi pula, kerjasama itu membuka ruang kepada koperasi untuk berperanan sebagai rakan pembiaya serta pemudah cara kepada anggota dalam mendapatkan rawatan kesihatan mata, selaras dengan aspirasi memperkukuh fungsi koperasi sebagai institusi ekonomi rakyat yang menjaga kebajikan anggotanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *