Fletcher pertahan pemain akademi United

LONDON – Pengurus sementara Manchester United, Darren Fletcher mempertahankan reputasi akademi kelab itu sebagai antara terbaik di dunia susulan kritikan terbuka bekas pengurus Ruben Amorim sebelum ini.

Fletcher mengambil alih tugas sementara pada Isnin lalu selepas Amorim dipecat, sebelum membimbing United mencatat keputusan seri 2-2 menentang Burnley dua hari kemudian.

Pengendali dari Portugal itu sebelum ini dikritik kerana gagal memberi peluang mencukupi kepada graduan akademi terutama Kobbie Mainoo.

Bulan lalu, Amorim turut mempersoalkan prestasi Harry Amass dan Chido Obi dengan menyebut wujud “rasa terlalu selesa” dalam kalangan pemain muda United.

Namun Fletcher, yang dilantik sebagai ketua jurulatih bawah 18 tahun pada Julai dan juga produk akademi United, tampil mempertahankan sistem pembangunan pemain kelab itu menjelang aksi pusingan ketiga Piala FA menentang Brighton, tengah malam esok.

United memiliki rekod menurunkan sekurang-kurangnya seorang pemain tempatan dalam setiap skuad perlawanan sejak tahun 1937.

“Secara tradisi, kelab ini dibina berteraskan akademi dan kami memiliki akademi yang luar biasa,” katanya kepada wartawan. “Rekod kami menjelaskan segala-galanya.

“Saya tidak akan berdiri di sini dan berkata sebaliknya. Rekod kami sukar ditandingi dari segi sejarah kelab di seluruh dunia.

“Kami mempunyai pemain dan bakat yang hebat. Apa yang saya lihat adalah pemain muda yang bekerja keras, merendah diri, tidak sempurna kerana mereka masih muda dan sedang belajar.”

Mainoo, yang beraksi bersama England pada final Euro 2024, masih belum diturunkan dalam kesebelasan utama Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Fletcher mengakui sukar membaca keadaan mental pemain berusia 20 tahun itu kerana perwatakannya yang pendiam.

“Dia berada dalam keadaan baik dan berlatih dengan bagus, tetapi Kobbie memang sukar dibaca, jadi kami tunggu dan lihat,” katanya.

United yang kini di tangga ketujuh liga sedang mencari pengurus sementara hingga akhir musim, dengan Ole Gunnar Solskjaer dan Michael Carrick antara nama yang dikaitkan.

Fletcher enggan mengulas masa depannya sambil menegaskan fokusnya ketika ini hanya kepada tugasan yang diamanahkan.

“Pengarah bola sepak (Jason Wilcox) dan ketua eksekutif (Omar Berrada) memberi saya tanggungjawab penuh mengendalikan dua perlawanan ini, membuat keputusan sendiri dan memimpin pasukan dan itulah yang saya lakukan,” katanya. – AFP

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *