GEORGE TOWN – Lelaki warga asing yang ditemukan maut dalam kebakaran melibatkan sebuah pusat hiburan di Jalan Penang di sini pada Sabtu disahkan bukan pekerja premis berkenaan.
Sebaliknya, mangsa dipercayai merupakan pekerja kepada kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian di bangunan tersebut untuk dijadikan sebuah restoran.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, polis menerima maklumat mengenai kebakaran itu daripada orang awam kira-kira jam 8.50 malam sebelum pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman.
Menurutnya, selepas api berjaya dikawal, mayat seorang lelaki warga asing berusia 56 tahun ditemukan berhampiran pintu masuk hadapan premis berkenaan pada jam 10.23 malam.
“Siasatan awal mendapati premis itu telah lama menamatkan operasinya sebagai pusat hiburan dan sedang menjalani kerja-kerja pengubahsuaian untuk dijadikan sebuah restoran.
“Polis percaya mangsa merupakan pekerja kepada kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian di premis tersebut dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan satu laporan mati mengejut telah dibuka bagi membantu siasatan lanjut.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu kerana ia boleh menjejaskan siasatan polis berhubung punca kematian mangsa serta siasatan pihak bomba mengenai punca kebakaran.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki warga Myanmar yang dikenali sebagai Mohamad Boshi Sabi Ullah ditemukan di pintu masuk hadapan premis berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L