LONDON – Kapten Tottenham Hotspur, Cristian Romero dikenakan penggantungan tambahan satu perlawanan susulan reaksinya selepas dilayangkan kad merah ketika kekalahan 1-2 aksi Liga Perdana Inggeris menentang Liverpool bulan lalu, menurut Persatuan Bolasepak England (FA), semalam.
Pemain pertahanan tengah itu menerima kad kuning kedua selepas menendang Ibrahima Konate pada masa kecederaan, namun enggan segera meninggalkan padang dan bertikam lidah dengan pengadil, menyebabkan FA mendakwanya atas kesalahan berkelakuan tidak wajar.
“Pemain pertahanan itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan dan satu jawatankuasa bebas menjatuhkan penggantungan satu perlawanan serta denda £50,000 (RM274,000) selepas sesi pendengaran,” menurut FA menerusi hantaran di laman X.
Romero sebelum ini sudah menjalani penggantungan automatik satu perlawanan ketika Spurs menang 1-0 ke atas Crystal Palace pada 28 Disember, namun kini perlu berehat sekali lagi susulan hukuman tambahan itu.
Dengan Spurs menghuni tangga ke-14 liga dan gagal mencatat kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir, Romero memohon maaf kepada penyokong kelab menerusi media sosial sambil membayangkan pemain tidak sepatutnya sentiasa menjadi pihak yang berdepan kemarahan penyokong.
Pengurus Spurs, Thomas Frank berkata Romero adalah “pemimpin muda” yang melakukan kesilapan dan mendedahkan beliau bersama pengarah sukan kelab Johan Lange sudah bertemu pemain itu bagi membincangkan perkara berkenaan.
Kelab London utara itu akan melayan kunjungan Aston Villa pada aksi pusingan ketiga Piala FA, awal pagi esok. – REUTERS
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L