Lima lelaki direman bantu siasatan kes gaduh di Flat Perantau

KLANG – Lima lelaki direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes pergaduhan melibatkan sekumpulan individu yang tular di media sosial berhampiran kawasan Flat Perantau, Pelabuhan Klang di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, kesemua suspek tempatan berusia antara 18 hingga 47 tahun itu ditahan selepas polis menjalankan siasatan susulan laporan yang diterima kira-kira jam 4 petang.

Menurutnya, permohonan reman terhadap semua suspek dibenarkan oleh Majistret Klang bermula 31 Mei hingga 3 Jun ini.

“Kesemua tangkapan direman selama empat hari bagi membantu melengkapkan siasatan kes.

“Reman dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah menjalankan siasatan sejurus menerima laporan berhubung kejadian pergaduhan yang tular itu sebelum berjaya mengesan dan menahan suspek dipercayai terlibat.

Dalam pada itu, Jit Huey menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih menerusi media sosial.

Katanya, tindakan sedemikian boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat selain berpotensi menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil menyalurkannya kepada IPD Klang Selatan atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Terdahulu, tular satu rakaman video di media sosial yang memaparkan pergaduhan melibatkan sekumpulan individu di kawasan perumahan berkenaan. – Sinar Harian

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *