PETALING JAYA – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memandang serius insiden kecurian kabel yang kerap menjejaskan operasi perkhidmatan rel serta memberi kesan langsung kepada jutaan pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang.
Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, dari 2023 hingga kini, kerugian akibat kecurian kabel dianggarkan mencecah RM20.6 juta, mencerminkan trend peningkatan membimbangkan dan berterusan.
Namun, kesan sebenar isu ini melangkaui kerugian kewangan semata-mata, malah ia turut menyebabkan gangguan perkhidmatan, kelewatan perjalanan serta menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna pengangkutan awam yang tidak boleh dipandang ringan.
Trend peningkatan kes juga semakin ketara apabila pada tahun 2024 sebanyak 41 kes kecurian kabel direkodkan.
Bagi tahun 2025 setakat ini, jumlah tersebut meningkat kepada 69 kes, iaitu kenaikan sebanyak 68 peratus, sekali gus didorong oleh permintaan dan harga pasaran kabel, khususnya tembaga yang semakin tinggi dan menjadikan jenayah ini lebih menguntungkan kepada sindiket.
Ketua Pegawai Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti, Alam Sekitar & Pembangunan Lestari Kumpulan, Idzqandar Abu Bakar berkata, kecurian kabel bukan sekadar isu kerugian kewangan, tetapi melibatkan keselamatan operasi dan memberi kesan langsung kepada jutaan penumpang yang bergantung kepada perkhidmatan rel setiap hari.
Katanya, setiap insiden kecurian menyebabkan operasi perkhidmatan terjejas kerana tren tidak dapat beroperasi seperti biasa dan kerja pembaikan serta penggantian kabel perlu dilakukan dengan segera bagi memulihkan sistem kritikal dan memastikan perkhidmatan dapat kembali berjalan secara normal.
“Dalam situasi ini, penumpanglah yang paling terkesan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Idzqandar, isu kecurian kabel yang semakin membimbangkan ini bukan sahaja melibatkan operasi perkhidmatan rel kendalian Prasarana, malah turut menjejaskan operator rel lain serta syarikat telekomunikasi.
Ia katanya, jelas menunjukkan jenayah ini bersifat berulang, terancang dan memberi implikasi luas terhadap infrastruktur kritikal negara.
“Prasarana telah melakukan pelbagai langkah pencegahan secara berterusan, daripada penempatan anggota keselamatan, rondaan bersama pasukan polis, pemasangan CCTV berteknologi tinggi sehingga kepada pengujian penggunaan anjing pengesan di Laluan Kajang dan Laluan Putrajaya.
“Kami juga telah bekerjasama dengan Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp) bagi memperkukuh ciri keselamatan fizikal di lokasi tertentu. Namun realitinya, dengan jajaran rel melebihi 200km, kami tidak boleh menanganinya secara bersendirian tanpa sokongan ekosistem penguatkuasaan dan kawal selia yang lebih menyeluruh,” katanya.
Walaupun semua langkah mitigasi ini telah dan sedang dilaksanakan, kejadian kecurian masih berterusan, malah terdapat kes melibatkan individu sama berulang kali.
Justeru, Prasarana menegaskan, selagi sindiket jenayah ini masih mempunyai ruang untuk menjual kabel secara terbuka dan meraih keuntungan besar, selagi itulah kes kecurian kabel akan terus berulang.
Keadaan ini ujar beliau, menuntut pendekatan nasional lebih tegas dan bersepadu, termasuk kawal selia lebih ketat terhadap rantaian penjualan kabel serta hukuman yang lebih berat terhadap pesalah berulang.
Prasarana menyeru kerjasama semua pihak berkepentingan, termasuk agensi penguatkuasa, penggubal undang-undang, pemain industri dan orang awam untuk berganding bahu dalam menangani isu ini secara kolektif.
Orang ramai turut digalakkan untuk segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan, khususnya di kawasan jajaran rel, kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan pantas dan berkesan diambil.
Isu kecurian kabel ini bukan sekadar melibatkan kerosakan atau kehilangan aset fizikal, tetapi memberi kesan langsung terhadap keselamatan operasi, kebolehpercayaan perkhidmatan dan hak jutaan rakyat yang bergantung kepada pengangkutan awam setiap hari.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001