UMNO Sabah ambil maklum pendirian anak Bung Moktar, keputusan calon masih terbuka

PETALING JAYA – UMNO Sabah memaklumkan keputusan berhubung calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dan Parlimen Kinabatangan belum dimuktamadkan, susulan kenyataan anak kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menyatakan hasrat untuk tidak bertanding.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, pandangan disuarakan Naim Kurniawan itu adalah pendirian peribadi, namun perkara itu tidak semestinya selari dengan pertimbangan di peringkat kepimpinan parti.

“Kenyataan tersebut adalah pandangan beliau sendiri. Di peringkat kepimpinan, sudah tentu terdapat sudut pandang lain yang turut diambil kira,” katanya seperti dipetik laporan media.

Jafry bagaimanapun enggan mengulas lanjut sama ada Naim tersenarai dalam kelompok empat individu yang dikenal pasti sebagai calon berpotensi bagi menghadapi PRK dijadual pada 24 Januari ini.

“Buat masa ini belum ada keputusan muktamad. Kita tunggu proses seterusnya,” katanya ringkas.

Minggu lalu, Naim secara terbuka menyatakan tidak berhasrat bertanding bagi kerusi DUN Lamag yang kosong susulan pemergian bapanya pada 5 Disember lalu.

Dalam masa sama, beliau mencadangkan beberapa kriteria calon yang wajar dipertimbangkan termasuk berusia 50 tahun ke bawah, berpendidikan serta menunjukkan kesetiaan kepada parti.

Sebelum ini, cadangan daripada sebahagian akar umbi UMNO Kinabatangan mencetuskan spekulasi agar Naim dicalonkan bagi mempertahankan kerusi Lamag, manakala bagi Parlimen Kinabatangan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Jafry Ariffin disebut-sebut sebagai antara calon pilihan.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 29 November lalu, Bung Moktar berjaya mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti tipis 153 undi dalam persaingan enam penjuru.

Sementara itu, pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2022, beliau turut mengekalkan kerusi Parlimen Kinabatangan yang disandang selama lima penggal dengan majoriti 4,330 undi.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *