45 pegawai, anggota polis ditahan SPRM dari Januari hingga Sept - Ayob Khan

‘Ahad ini hari terakhir saya pakai uniform PDRM’ – Ayob Khan umum bersara selepas hampir 35 tahun berkhidmat

Dari Editorial ND

SELEPAS hampir 35 tahun menabur bakti dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay mengumumkan bakal menamatkan perkhidmatannya mulai Ahad ini.

Pengumuman itu menandakan berakhirnya perjalanan kerjaya seorang pegawai kanan polis yang pernah memegang beberapa jawatan penting serta terlibat dalam pelbagai operasi membanteras jenayah dan menjaga keselamatan negara.

Menurut Ayob Khan, Ahad ini akan menjadi hari terakhir beliau menyarung uniform PDRM selepas hampir tiga setengah dekad menggalas amanah sebagai anggota pasukan keselamatan itu.

“Insya-Allah, Ahad ini adalah hari terakhir saya dalam pasukan selepas berkhidmat hampir 35 tahun bersama PDRM,” katanya selepas Majlis Pelancaran Buku Biografi Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay di ibu negara semalam.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, nama Ayob Khan bukan lagi asing dalam kalangan rakyat Malaysia. Beliau sering menjadi perhatian menerusi ketegasan dalam menangani pelbagai kes berprofil tinggi, khususnya membabitkan jenayah terancang, sindiket dadah dan isu keselamatan.

Kerjayanya dalam pasukan polis turut menyaksikan beliau diberi kepercayaan memegang beberapa jawatan penting, antaranya Ketua Polis Johor, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

Pada Jun 2023, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara, sekali gus menjadi individu nombor dua tertinggi dalam PDRM.

Mengulas mengenai kehidupan selepas persaraan, Ayob Khan berkata, beliau belum mempunyai perancangan yang benar-benar tetap.

Namun, dengan nada berseloroh, beliau berkata, tidak mustahil suatu hari nanti orang ramai akan melihat dirinya menceburi bidang perniagaan makanan.

“Nanti mungkin orang nampak saya pakai kain pelikat dan baju pagoda sambil menebar roti canai,” katanya sambil mencuit hati para hadirin.

Kenyataan itu nyata mengundang senyuman, apatah lagi selepas bertahun-tahun masyarakat mengenalinya sebagai seorang pegawai polis yang tegas dan berdisiplin.

Walaupun mengakui terdapat pelbagai perancangan yang boleh dilakukan selepas bersara, Ayob Khan berkata, fokus utamanya ketika ini adalah untuk berehat terlebih dahulu selepas sekian lama berkhidmat kepada negara.

Beliau mahu meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga sebelum memikirkan langkah seterusnya dalam fasa baharu kehidupannya.

Dalam masa sama, Ayob Khan turut memberi bayangan beliau mungkin akan menghasilkan sebuah lagi buku yang lebih menyeluruh mengenai pengalaman sepanjang bergelar anggota polis.

Katanya, buku tersebut berkemungkinan memuatkan lebih banyak kisah operasi yang pernah disertainya, termasuk pengalaman yang sebelum ini tidak sempat dikongsikan kepada masyarakat.

“Mungkin selepas ini akan ada sebuah lagi buku yang ditulis dengan lebih terperinci mengenai operasi yang pernah saya sertai dan boleh dikongsikan kepada masyarakat,” katanya.

Persaraan Ayob Khan menutup satu bab penting dalam perjalanan karier seorang pegawai kanan polis yang telah mengabdikan hampir 35 tahun hidupnya kepada PDRM.

Walaupun bakal meninggalkan pasukan, pengalaman, kepimpinan dan sumbangannya dalam memperkukuhkan usaha membanteras jenayah serta menjaga keselamatan negara dijangka terus dikenang.

Manakala orang ramai kini menantikan apakah hala tuju baharu yang bakal dipilih beliau selepas menanggalkan uniform rasmi PDRM buat kali terakhir.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *