Pendedahan Laporan RCI Tabung Haji

Oleh: Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa

Saya sejak awal 2023 telah beberapa kali bertanya di Dewan Negara bilakah Laporan Suruhanjaya Diraja (RCI) akan didedahkan kepada awam. Jawapan yang saya dapat dari menteri bertanggungjawab dalam Kerajaan Perpaduan ialah, ia masih di bawah OSA (Akta Rahsia Rasmi).

Saya menuntut di Dewan Negara yang mulia pendedahan RCI ini untuk mengelakkan isu ini menjadi tujuan politik memandangkan isu TH ini berligar sekitar memutarkan-belitkan isu pemulihan TH dari 2018-2020.

Sewaktu saya memegang portfolio Menteri Hal Ehwal Agama (2018-2020), saya bertanggungjawab memulakan dan melaksanakan operasi penstrukturan semula Tabung Haji yang berada dalam keadaan defisit pada kadar RM10 Bilion jurang antara aset dan tanggungannya.

Inisiatif pemulihan ini menjadi kesempatan parti politik tertentu, khususnya PAS dan UMNO sebagai pembangkang pada waktu itu menyerang saya di bawah tema ‘aset TH dijual oleh saya dan Lim Guan Eng’. Cytro PAS dan UMNO, termasuk beberapa pemimpin mereka terus menuai benih fitnah tentang TH melibatkan nama saya sebagai watak utama yang merosakkan TH.

Saya telah menghadiri debat awam anjuran Sinar Harian (rujuk debat Tabung Haji di youtube) pasca kejatuhan PH 2020 menjawab segala fitnah berhadapan dengan mantan Pengerusi TH, Datuk Seri Aziz Rahim ketika itu.

Saya turut mengemukakan tuntutan saman fitnah kepada Setiausaha Agung UMNO kerana fitnah terhadap saham TH dalam TNB yang dikatakan dilepaskan walaupun kemudiannya di mahkamah beliau meminta maaf secara awam sebagai syarat penyelesaian dicapai di luar mahkamah.

Saya juga disaman oleh mantan Ketua Dewan Ulamak PAS Shah Alam, Ustaz Dasuki kerana menjawab fitnah aset TH telah dijual kepada bukan Islam, namun beliau kalah dalam samannya kerana komen saya kepada fitnahnya itu adil dan berjustifikasi. Beliau diarahkan membayar kepada saya kerana kalah dalam samannya.

Reputasi saya dipertaruhkan melalui edaran fitnah di media sosial sebagai orang yang bertanggungjawab ‘jual aset TH kepada bukan Islam, menteri yang merosakkan TH dan lain-lain tohmahan’ di sebalik kemenangan saya di mahkamah dan tulisan saya yang telah disiarkan dalam media sosial mahupun portal berita perdana.

Sehingga hari ini fitnah terhadap TH memburukkan PH dan diri saya digunakan dalam kempen-kempen PRN, termasuk yang terkini di Johor dan sekarang di Negeri Sembilan.

Tibalah masanya kemuncak kebenaran didedahkan siapa sebenarnya yang menjadi dalang kepada keruntuhan TH dan siapa sebenarnya yang berusaha menyelamatkan TH.

RCI TH dimulakan pada zaman Tan Sri Mahyuddin Yassin setelah diasak oleh PAS yang menjadi kerajaan ketika itu. Saya dipanggil sebagai saksi di hadapan panel suruhanjaya sebagai menteri bertanggungjawab sesi 2018-2020 semasa usaha pemulihan TH dijalankan.

Saya bertanggungjawab penuh atas semua kenyataan yang saya berikan kepada anggota panel dan pengerusi panel Suruhanjaya untuk dibuat penilaian, di mana asasnya saya telah menjual aset TH dan apakah motif sebenarnya penstrukturan semula tahun 2018-2020 yang saya mulakan.

Saya telah kemukakan semua dokumen yang telah diperakui sebagai jawapan saya kepada soalan-soalan yang dikemukan oleh panel RCI yang kompeten dan bebas politik.

Saya sendiri tidak sabar untuk melihat laporan tersebut supaya rakyat didedahkan apa sebenarnya yang berlaku pada TH dari tahun 2014-2020 dan siapa yang telah bertanggungjawab merosakkan TH dan apa peranan saya untuk memulihkan kembali TH dari 2018-2020.

Hanya Allah tempat saya mengadu selama beberapa tahun ini agar fakta dan bukan auta yang akan menjadi penilaian umat Islam terhadap usaha PH sebelum ini yang berusaha memenuhi janji membela institusi terbesar umat Islam dan siapa yang sebenarnya merosakkan Tabung Haji.

Wahai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, PMX segeralah dedahkan laporan RCI TH.

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa adalah Timbalan Presiden AMANAH Negara

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *