Dari Editorial ND
SIASATAN berhubung pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery kini memasuki fasa lebih meluas apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mendapatkan bantuan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menjejaki dan mendapatkan keterangan daripada saksi yang berada di luar negara.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata, permohonan di bawah Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah (Mutual Assistance in Criminal Matters Act – MACMA) akan dikemukakan kepada AGC bagi membolehkan proses mendapatkan maklumat dan keterangan daripada individu berkaitan yang kini berada di luar Malaysia.
Menurut beliau, langkah berkenaan penting bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh, terutama apabila terdapat pihak tertentu yang berada di luar bidang kuasa negara.
“Permohonan Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah (MACMA) akan dibuat kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan keterangan daripada saksi-saksi yang berada di luar negara.
“Ia bertujuan untuk mendapatkan keterangan daripada saksi-saksi tersebut dan SPRM memohon kerjasama daripada semua pihak untuk memberikan ruang serta masa agar siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh,” katanya menerusi satu hantaran video di akaun TikTok rasmi SPRM.
Abdul Halim turut memberi jaminan pihaknya akan menjalankan siasatan secara profesional dan terperinci dengan meneliti semua aspek berkaitan tanpa mengetepikan sebarang kemungkinan.
Beliau berkata, proses mengambil keterangan saksi telah bermula sejak 21 Julai lalu, dengan seramai 10 individu selesai dirakam percakapan setakat semalam bagi membantu siasatan.
Mereka melibatkan pegawai kanan KWAP serta pegawai Kementerian Kewangan (MOF) yang dipercayai mempunyai kaitan dengan proses penilaian dan keputusan pelaburan berkenaan.
Selain mendapatkan keterangan saksi, SPRM turut memberi tumpuan kepada proses menjejaki aliran kewangan bagi mengenal pasti sama ada wujud sebarang transaksi mencurigakan yang mempunyai kaitan dengan pelaburan tersebut.
Menurut Abdul Halim, penelitian akan dilakukan melalui analisis Laporan Transaksi Tunai (Cash Transaction Report – CTR) serta Laporan Transaksi Mencurigakan (Suspicious Transaction Report – STR).
“Pihak kami menjangkakan lebih ramai lagi saksi akan dipanggil, termasuk ahli-ahli yang menganggotai Jawatankuasa Kewangan serta kesemua ahli panel pelaburan KWAP yang terlibat dalam proses pelaburan tersebut,” katanya.
Dalam perkembangan sama, SPRM turut meneliti pelbagai dokumen penting berkaitan keputusan pelaburan itu, termasuk kertas cadangan awal dan akhir pelaburan, laporan lawatan tapak, minit mesyuarat serta laporan penelitian wajar atau due diligence.
Dokumen berkaitan tatacara pelaburan dan rekod kewangan KWAP juga sedang diperiksa bagi memastikan keseluruhan proses membuat keputusan pelaburan dinilai secara menyeluruh.
Siasatan itu mendapat perhatian selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 15 Julai lalu memaklumkan, KWAP dipercayai menjadi mangsa penipuan terancang serta manipulasi laporan kewangan.
Menurut beliau, keadaan tersebut menyebabkan KWAP menyalurkan kira-kira RM200 juta kepada eFishery, sebuah syarikat pemula dalam sektor akuakultur dari Indonesia.
SPRM berkata, pihaknya akan terus mengembangkan siasatan berdasarkan fakta, bukti dan keterangan yang diperoleh sebelum sebarang tindakan lanjut diputuskan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L