BERSAMA Sambut Baik Cadangan Dedah Laporan RCI Tabung Haji, Gesa Pengajaran Diambil – Rafizi

KUALA LUMPUR – Pengerusi Bersama (BERSAMA), Rafizi Ramli mengalu-alukan bayangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendedahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji dalam masa terdekat.

Dalam satu kenyataan hari ini, Rafizi berkata, pendedahan laporan itu wajar dilakukan kerana siasatan RCI melibatkan isu berkepentingan awam dan hasilnya sepatutnya diketahui rakyat.

Beliau mendakwa, kemelut yang pernah melanda Tabung Haji berpunca daripada kelemahan tadbir urus yang berlarutan selama lebih sedekad ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, keadaan itu akhirnya memerlukan langkah pemulihan yang melibatkan kos besar kepada kerajaan bagi menstabilkan kedudukan kewangan institusi berkenaan.

Rafizi turut mendakwa, laporan RCI tersebut sepatutnya didedahkan seawal 2023 selepas ia disiapkan. Bagaimanapun, beliau mendakwa keputusan ketika itu adalah untuk tidak menerbitkan laporan berkenaan atas pertimbangan politik.

Katanya, pendedahan laporan RCI pada masa ini akan membolehkan orang ramai memahami kronologi isu yang membabitkan Tabung Haji, selain menilai semula pelbagai dakwaan dan penjelasan yang pernah dibangkitkan sebelum ini.

Menurut Rafizi, beliau pernah membuat beberapa pendedahan berhubung kedudukan kewangan Tabung Haji antara 2015 hingga 2018 dan berharap laporan RCI itu dapat menjelaskan fakta serta menjadi rujukan kepada masyarakat.

Pada masa sama, beliau berharap pendedahan laporan berkenaan dapat menjadi iktibar kepada semua pihak agar kepentingan awam sentiasa diutamakan dalam membuat keputusan, selain mengelakkan kompromi politik yang menurutnya boleh menjejaskan tadbir urus institusi negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri hari ini memberi bayangan laporan RCI Tabung Haji akan didedahkan kepada umum dalam masa terdekat.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *