KUALA LUMPUR – Perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang dan tren elektrik (ETS) mengalami gangguan serta kelewatan operasi hari ini berikutan insiden struktur kayu daripada tapak pembinaan pihak ketiga terjatuh ke atas landasan di kawasan Batang Benar.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan memaklumkan, struktur kayu itu menghempap sistem elektrik alat talian atas di antara laluan Batang Benar dan Labu, menyebabkan kerosakan pada sistem bekalan elektrik, sekali gus menjejaskan kelancaran operasi tren.
Menurut KTMB, perkhidmatan KTM Komuter dari Pulau Sebang menuju ke KL Sentral kini ditamatkan di Stesen Seremban manakala perjalanan ke arah KL Sentral atau Batu Caves hanya bermula dari Stesen Bangi.
“Tiada perkhidmatan KTM Komuter di antara Stesen Bangi dan Stesen Seremban buat masa ini, dengan penumpang yang terjejas disarankan mendapatkan pengangkutan alternatif bagi meneruskan perjalanan,” menurut kenyataan itu.
KTMB turut menyediakan tiga bas perantara dari Seremban, Tiroi, Batang Benar, Labu dan Bangi bagi membantu penumpang meneruskan perjalanan.
Bagi perkhidmatan ETS yang turut terkesan, KTMB memaklumkan, tujuh bas perantara telah disediakan di Stesen KL Sentral, Bandar Tasik Selatan, Kajang dan Seremban.
“Penumpang ETS yang memilih untuk tidak meneruskan perjalanan dari stesen permulaan layak menerima pemulangan penuh,” katanya.
Sementara itu, KTMB memaklumkan, kontraktor Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi projek laluan utiliti itu didapati tidak mematuhi syarat dan prosedur keselamatan yang telah ditetapkan, termasuk tidak mengemukakan jadual pelaksanaan kerja yang lengkap serta tidak membuat pemakluman khusus kepada KTMB mengenai waktu sebenar kerja dijalankan pada hari kejadian bagi kerja-kerja pembinaan jambatan.
“Mengikut SOP (prosedur operasi standard) Permit Masuk Tapak, tiga wakil teknikal KTMB daripada bahagian Jurutera Wilayah, Semboyan dan Komunikasi serta Elektrifikasi akan ditempatkan di lokasi bagi tujuan pemantauan setelah kelulusan penuh diperoleh dan dokumentasi lengkap diterima,” menurut kenyataan itu.
KTMB memaklumkan, pasukan teknikalnya kini sedang giat menjalankan kerja-kerja pembaikan bagi memulihkan sistem elektrik alat talian atas untuk memastikan perkhidmatan tren kembali beroperasi secepat mungkin.
“KTMB memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh para penumpang akibat insiden yang tidak dijangka ini. Keselamatan penumpang dan operasi tren sentiasa menjadi keutamaan KTMB,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat terkini mengenai status perkhidmatan melalui saluran media sosial rasmi KTMB atau berhubung dengan kakitangan stesen yang bertugas.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L