Dari Editorial ND
INDUSTRI hiburan tanah air berduka dengan pemergian pelakon era 2000-an, Lydia Ibtisam, 46, yang menghembuskan nafas terakhir semalam, selepas berdepan komplikasi kesihatan serius.
Berita pemergian pelakon yang dikenali menerusi drama bersiri popular Impian Ilyana itu hadir hanya beberapa jam selepas perkembangan mengenai keadaan kesihatannya yang kritikal mula mendapat perhatian ramai.
Lydia atau nama sebenarnya Nur Ibtisam Abdul Wahab dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital pakar di ibu negara kira-kira jam 4 petang selepas beberapa komplikasi kesihatan yang dihadapinya.
Berita sedih itu disahkan oleh sahabatnya yang juga pelakon, Mimi Ernida menerusi satu hantaran di aplikasi Threads pada petang Khamis.
“Assalamualaikum… Nur Ibtisam binti Abdul Wahab (Lydia Ibtisam) baru sahaja menghembuskan nafas terakhir sebentar tadi. Al-Fatihah,” tulis Mimi.
Pengesahan sama turut dikongsikan rakan baik Allahyarham yang juga penyanyi, Elliza Razak, yang meminta orang ramai menitipkan doa serta menghadiahkan bacaan Al-Fatihah buat arwah.
Menurut Elliza, sebelum ini keadaan Lydia menjadi semakin membimbangkan selepas penyakit autoimun yang dihidapinya sejak kira-kira lapan tahun lalu kembali menjadi lebih agresif.
Akibat komplikasi tersebut, Lydia dilaporkan perlu menjalani prosedur pembedahan segera selepas penyakit berkenaan memberi kesan serius terhadap kesihatannya.
Selain masalah berkaitan buah pinggang, Allahyarham turut berdepan jangkitan kuman serta serangan virus yang melibatkan beberapa bahagian tubuh termasuk perut, paru-paru dan aliran darah.
Sepanjang tempoh rawatan, rakan-rakan serta peminat terus menitipkan doa agar Lydia diberikan kesembuhan, namun takdir menentukan pelakon itu pergi menghadap Ilahi.
Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kampung halamannya di Pulau Pinang untuk pengebumian.
Sepanjang lebih dua dekad penglibatannya dalam dunia seni, Lydia Ibtisam meninggalkan kenangan tersendiri kepada peminat menerusi beberapa karya televisyen yang pernah menghiasi skrin kaca.
Selain Impian Ilyana yang melonjakkan namanya, Allahyarham turut dikenali menerusi drama seperti Dunia Anita, Realiti dan Natasha.
Watak-watak yang dibawanya sering mendapat perhatian kerana kemampuan beliau menghidupkan pelbagai karakter dengan penuh penghayatan, sekali gus menjadikan namanya antara pelakon yang mencuri perhatian pada era 2000-an.
Pemergian Lydia Ibtisam bukan sahaja dirasai keluarga terdekat, malah turut meninggalkan kesan kepada rakan-rakan artis serta peminat yang membesar dengan karya-karyanya.
Allahyarham meninggalkan suami, Ezam Merican, serta dua cahaya mata. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan insan beriman. Al-Fatihah.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L