IPR gesa Kerajaan semak semula perjanjian ART dengan Amerika Syarikat

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin petang semalam, memberi tumpuan utama kepada Agreement on Reciprocal Trade (ART) yang ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan Presiden Trump pada 26 Oktober lalu.

Sekretariat IPR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pihaknya menyatakan kebimbangan terhadap implikasi perjanjian tersebut yang didakwa boleh mengehadkan ruang dasar ekonomi negara serta memaksa Malaysia menyesuaikan polisi industri dan keselamatan ekonomi mengikut kehendak Amerika Syarikat.

Menurut beliau, perjanjian itu dilihat bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan perlu disemak semula demi menjamin kedaulatan serta keselamatan negara.

“Dalam mesyuarat yang sama, IPR turut meneliti trend sokongan pengundi Sabah dalam Pilihan Raya Negeri baru-baru ini.

“IPR menafsirkan keputusan pengundi, khususnya masyarakat perniagaan dan pengundi Cina yang menolak DAP dan PH, sebagai isyarat jelas rakyat mahukan perubahan lebih signifikan bagi masa depan negara.

“Sehubungan itu kita bersedia untuk menawarkan dasar progresif bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi serta memastikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan lewat malam semalam.

Menurut Mohamed Azmin, IPR juga mengumumkan penganjuran Konvensyen Rakyat – Selamatkan Malaysia awal tahun depan yang melibatkan semua anggota IPR.

Katanya, dalam konvensyen itu akan membincangkan rangka dasar komprehensif merangkumi isu kos sara hidup, pembinaan sistem pendidikan berteraskan nilai murni, keselamatan negara dan rakyat serta usaha memperkukuh perpaduan nasional.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *