HULU LANGAT – Hujan lebat bermula sekitar jam 2 pagi tadi mencetuskan banjir kilat di beberapa kawasan di Hulu Langat, menyebabkan penduduk terpaksa berdepan kenaikan paras air secara mendadak menjelang Subuh.
Antara kawasan yang terjejas termasuk Batu 20, Nanding, Dusun Tua, Sungai Lui serta Batu 18, dengan beberapa laluan utama di kawasan berkenaan dilaporkan tidak dapat dilalui selepas ditenggelami air.
Beberapa siren kecemasan turut diaktifkan bagi memberi amaran awal kepada penduduk tinggal berhampiran sungai dan kawasan rendah.
Menurut penduduk yang ditemui, air mula naik dalam tempoh singkat akibat hujan tanpa henti sejak awal pagi, memaksa mereka berjaga-jaga dan bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan awal jam 5 pagi mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan beberapa negeri, termasuk Selangor, susulan cuaca tidak menentu yang dijangka berterusan.
Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai mengelakkan sebarang perjalanan yang tidak perlu, mematuhi arahan keselamatan dan sentiasa peka terhadap perkembangan semasa.
Pemantauan situasi dilakukan secara berterusan oleh agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan terlibat.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001