SEGAMAT – Lebih 1,000 murid Tahun 1 di sekolah daerah Segamat, Johor menerima manfaat besar apabila mereka diberikan saringan kesihatan mata percuma.
Manakala 45 murid daripada keluarga kurang berkemampuan layak menerima kaca mata khas kawalan rabun menerusi inisiatif OPTIMAX Eye Specialist dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Segamat, Pejabat Parlimen Segamat dan SENA Segamat Specialist Hospital.
Program kesihatan mata yang dijalankan di sekolah-sekolah kebangsaan bawah pentadbiran PPD Segamat itu bertujuan mengesan masalah penglihatan seperti rabun jauh dan miopia dalam kalangan murid berusia tujuh tahun.

Kanak-kanak yang dikesan mempunyai masalah penglihatan diberikan rujukan dan bantuan khas termasuk kaca mata kawalan rabun bagi memastikan mereka dapat belajar dengan lebih selesa dan berkesan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif OPTIMAX, Ms. Sandy Tan, program menyaring kesihatan mata kanak-kanak seawal usia sekolah rendah ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat tersebut.
“OPTIMAX sudah bertapak lebih 30 tahun di Malaysia dan memiliki pusat kawalan rabun kanak-kanak terbaik di negara ini.

“Oleh itu, menjadi tanggungjawab sosial kami memastikan anak-anak ini mendapat peluang menjaga kesihatan mata terbaik walaupun jika mereka kurang berkemampuan,” katanya pada program berkenaan.
OPTIMAX sebelum ini telah memulakan usaha sama bersama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) sejak tahun lalu di Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Hasil usaha sama itu, mereka berjaya membantu murid-murid Tahun 1 yang tidak berkemampuan memperoleh kaca mata bersesuaian bagi meningkatkan kualiti penglihatan dan pencapaian akademik.
“Kejayaan program tersebut mendorong peluasan inisiatif ini ke negeri Johor,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Strategik OPTIMAX Eye Specialist, Dr. Asmah Razalli turut menekankan kepentingan penjagaan mata sejak usia muda.
“Kesihatan mata amat penting sedari usia kecil. Ibu bapa perlu memastikan anak menjalani pemeriksaan mata setiap tahun.
“Jika murid sukar memberi tumpuan dalam bilik darjah, amat wajar dilakukan pemeriksaan bagi memastikan mereka tidak mengalami masalah rabun. Kualiti penglihatan yang baik adalah asas penting pembelajaran,” jelasnya.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Segamat, Yuneswaran Ramaraj, yang menyatakan komitmen berterusan beliau untuk menyokong inisiatif kesihatan komuniti khususnya program yang memberi manfaat langsung kepada murid.
Program berimpak tinggi ini bukan sahaja membantu murid-murid kurang berkemampuan, malah menjadi platform penting untuk meningkatkan kesedaran ibu bapa dan masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mata sejak awal usia.
Dengan kerjasama pelbagai pihak, usaha ini diyakini dapat mengurangkan masalah penglihatan dalam kalangan kanak-kanak dan memastikan mereka mendapat peluang pendidikan yang lebih baik.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001