KOTA BHARU – Seorang penuntut Doktor Falsafah (PhD) Universiti Malaysia Kelantan (UMK) maut, manakala rakannya cedera selepas kereta Perodua Axia yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam dalam tasik di kampus universiti itu, di Jeli petang semalam.
Dalam kejadian sekitar jam 6.20 petang itu, mangsa Muhammad Amidee Abdullah, 25, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala rakannya berjaya menyelamatkan diri.
Ketua Polis Daerah Jeli, Supt Kamarulzaman Harun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mengenai kejadian itu pada jam 6.35 petang sebelum sepasukan anggota dihantar ke lokasi.
Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika kereta dipandu mangsa melalui selekoh dan menuruni bukit dalam kawasan kampus itu sebelum hilang kawalan lalu terbabas ke dalam tasik.
“Bedah siasat akan dijalankan di Bahagian Forensik Hospital Jeli dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sementara itu, UMK dalam kenyataan malam tadi memaklumkan, Allahyarham Muhammad Amidee berasal dari Kampung Manal Jaya, Tanah Merah dan merupakan mahasiswa pascasiswazah di Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi.
“Pada masa ini, polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kemalangan dan UMK memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam proses siasatan itu.
“UMK merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
“UMK turut menyediakan bantuan serta memberikan sokongan sepenuhnya kepada keluarga Allahyarham bagi membantu mereka menghadapi saat-saat sukar ini,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001