KUALA LUMPUR – BMS Holdings Berhad (BMS Holdings) mengumumkan tawaran awam permulaannya (IPO) telah terlebih langganan 2.40 kali, sempena penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (“Bursa Securities”).
IPO BMS Holdings terdiri daripada Terbitan Awam sebanyak 364 juta saham biasa baharu (“Saham Terbitan”) dan Tawaran Jualan sebanyak 156 juta saham sedia ada (“Saham Tawaran”), mewakili sejumlah 33.77 peratus daripada bilangan saham terbitan Kumpulan yang diperbesarkan sebanyak 1.54 bilion.
Syarikat menerima sejumlah 4,470 permohonan untuk 185,072,700 Saham Terbitan daripada orang awam Malaysia, mewakili kadar langganan keseluruhan sebanyak 2.40 kali.
Pengarah Urusan BMS Holdings Berhad Ang Kwee Peng berkata, minat yang diterima untuk IPO menunjukkan sokongan yang mantap dan penghargaan pasaran terhadap platform runcit dan asas yang telah diletakkan.
“Pencapaian penting ini mencerminkan lebih tiga dekad dedikasi, inovasi dan kepercayaan yang dibina dengan pelanggan dan rakan kongsi kami. Dana yang dikumpul akan mempercepatkan pengembangan, meningkatkan rangkaian runcit, mengukuhkan infrastruktur rantaian bekalan kami dan menyokong strategi pertumbuhan jangka panjang syarikat,” katanya.
Alliance Islamic Bank Berhad ialah Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin Tunggal dan Ejen Penempatan untuk IPO BMS Holdings Berhad.
BMS Holdings Berhad dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada 8 Disember 2025.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001