Sunzen catat untung empat kali ganda

PETALING JAYA – Sunzen Group Bhd (Sunzen) membuka tahun kewangan baharu dengan prestasi kukuh apabila mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM3.69 juta bagi suku pertama berakhir 30 September 2025.

Pencapaian itu melonjak lebih empat kali ganda berbanding RM0.86 juta yang direkodkan pada tempoh sama tahun lalu, menandakan keberkesanan strategi pemulihan syarikat.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Swan Consultancy Sdn Bhd bagi pihak Sunzen, peningkatan ketara keuntungan itu dicapai walaupun kumpulan berdepan penurunan hasil sebanyak 14.29 peratus kepada RM19.68 juta berbanding RM22.96 juta tahun lalu.

Penyusutan hasil itu dipengaruhi terutama oleh pengurangan jualan eksport produk sarang burung, namun penjimatan dan disiplin pengurusan kos operasi membantu mengimbangi kesan kelembapan jualan.

Sebagai penghargaan kepada keyakinan pemegang saham, Lembaga Pengarah Sunzen mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 0.2 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026. Dividen berkenaan dijadualkan dibayar pada 12 Januari 2026 kepada pemegang saham berdaftar pada 15 Disember 2025.

Daripada segi prestasi perniagaan, segmen Pembiayaan Pinjaman kekal sebagai penyumbang utama dengan hasil meningkat 41.90 peratus kepada RM4.64 juta, manakala PBT segmen itu melonjak 44.35 peratus kepada RM3.45 juta.

Pertumbuhan itu dipacu oleh permintaan berterusan terhadap penyelesaian pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta prestasi pinjaman yang stabil.

Bagi segmen Kesihatan Manusia, hasil merosot kepada RM13.05 juta namun kerugian sebelum cukai berjaya dikurangkan dengan signifikan kepada RM0.40 juta berbanding RM0.90 juta sebelumnya berikutan langkah pengurusan kos yang lebih berkesan.

Pengarah Urusan Kumpulan Sunzen, Teo Yek Ming, berkata keputusan suku pertama mencerminkan kekuatan asas perniagaan teras dan kejayaan pelarasan operasi yang telah dilaksanakan.

Melangkah ke hadapan, kumpulan sedang memberi tumpuan kepada pengembangan pasaran termasuk jangkaan penghantaran pesanan eksport pertama ke Kemboja menjelang Disember 2025 serta meneroka peluang Pembuatan Reka Bentuk Asal (ODM).

Selain itu, segmen Peranti dan Perkhidmatan Perubatan dijangka terus berkembang seiring peningkatan peruntukan kerajaan bagi sektor kesihatan yang naik 2.76 peratus berbanding tahun sebelumnya, menyokong permintaan berterusan terhadap peralatan diagnostik.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *