Ge-Shen Lupus Aset Bukan Teras Bernilai RM35 Juta Untuk Tingkat Kecekapan Operasi

Untung Ge-Shen melonjak 116.8 peratus pada suku ketiga

KUALA LUMPUR – Ge-Shen Corporation Bhd (Ge-Shen) mencatatkan prestasi kewangan memberangsangkan apabila keuntungan bersihnya melonjak 116.8 peratus kepada RM7.51 juta untuk suku ketiga berakhir 30 September 2025. Keuntungan itu melonjak lebih dua kali ganda berbanding RM3.47 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Bagi suku ketiga TK2025, kumpulan itu turut menyaksikan Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) melonjak 113.82 peratus kepada RM9.90 juta. Ini adalah peningkatan ketara berbanding RM4.63 juta pada suku ketiga TK2024.

Pertumbuhan keuntungan ini dicapai seiring dengan peningkatan pendapatan yang kukuh.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ge-Shen mengumumkan pendapatannya bagi suku dikaji meningkat 61.34 peratus kepada RM109.48 juta, berbanding RM67.86 juta pada suku yang sama tahun lepas.

“Prestasi kukuh ini didorong terutamanya oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada bahagian perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) dan perubatan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif Ge-Shen, Dr Adrian Foong Hong Nian.

Ge-Shen mengkhusus dalam komponen plastik berkualiti tinggi, pemasangan papan litar bercetak (PCBA), dan peranti perubatan.

“Faktor lain yang menyumbang kepada pendapatan adalah permintaan pelanggan yang lebih kukuh dan prestasi operasi yang lebih baik,” tambah beliau.

Kumpulan itu juga giat menjalankan inisiatif kejuruteraan sebagai perkhidmatan nilai tambah kepada pelanggan untuk meningkatkan pembuatan dan pemindahan produk baharu.

Peningkatan keuntungan bersih yang lebih tinggi berbanding pertumbuhan hasil itu disokong oleh langkah kawalan kos yang berkesan. Selain itu, Kumpulan melaksanakan pelan penambahbaikan pengeluaran melalui inisiatif berasaskan data untuk meningkatkan lagi kecekapan operasi merentasi anak syarikatnya.

Ge-Shen turut mendapat manfaat daripada keputusan gabungan Local Assembly Sdn Bhd. Pengambilalihan itu, seperti yang dinyatakan dalam kenyataan berkenaan, telah menyumbang secara positif kepada pertumbuhan hasil dan integrasi rantaian nilai Kumpulan.

Prestasi cemerlang ini turut dicerminkan dalam prestasi kumulatif sembilan bulan berakhir 30 September 2025. Bagi tempoh itu, keuntungan bersih Kumpulan melonjak 86.5 peratus kepada RM22.07 juta berbanding RM11.83 juta sebelumnya.

Jumlah pendapatan untuk sembilan bulan TK2025 turut meningkat 19.8 peratus kepada RM259.77 juta. Ini berbanding RM216.84 juta yang dicatatkan dalam tempoh sembilan bulan TK2024.

Dalam pada itu, Ge-Shen kekal komited untuk mempertajam kecekapan operasi dan memaksimumkan penciptaan nilai. Kumpulan itu sedang melaksanakan pelupusan aset di Johor, di mana satu blok telah selesai pada separuh pertama tahun ini.

Baki lima blok aset lagi di Johor dijadualkan siap dilupuskan pada separuh pertama 2026. Ge-Shen juga sedang menaik taraf sistem Perancangan Sumber Perusahaan (ERP) dan meneruskan penggunaan automasi di kilang-kilang utamanya untuk meningkatkan kebolehskalaan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *