Jangan cetus spekulasi dalam isu garis panduan muslim di majlis non muslim

Bajet 2026: Kejayaan AMANAH memimpin Politik RAHMAH

Oleh: Dr. Mujahid Yusof Rawa

Parti Amanah Negara (AMANAH) menyambut baik pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan kesinambungan dasar Madani berteraskan kesejahteraan rakyat, kebertanggungjawaban fiskal, dan keberanian melakukan reformasi sebenar dalam sektor-sektor utama negara.

Dua kementerian yang diterajui oleh pimpinan tertinggi Amanah — Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta Kementerian Kesihatan (KKM) — menjadi teraju keberhasilan dasar yang nyata, bukan sekadar retorik politik.

Pertanian: Dari Subsidi Pukal ke Pasaran Adil dan Terkawal

Kejayaan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam menamatkan subsidi pukal ayam dan telur tanpa menyebabkan lonjakan harga membuktikan keberanian politik yang disokong oleh sikap beramanah dan berpandukan data.

Langkah ini bukan sahaja menstabilkan harga pasaran, tetapi juga memecahkan dominasi kartel pengimport dan pemborong, sekali gus menjimatkan lebih RM1 bilion dana awam yang kini dapat disalurkan kepada bantuan bersasar seperti SARA dan Skim Tunai Rahmah (STR). 

Usaha ini memperlihatkan semangat sebenar politik Amanah — berani melakukan yang betul walaupun tidak popular, demi keadilan fiskal dan menjamin kesejahteraan rakyat. Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan juga memperkukuhkan sektor pertanian dengan pembiayaan RM6.87 bilion, peningkatan ketara bagi memperkasakan petani, nelayan dan usahawan tani.

Reformasi rantaian bekalan melalui digitalisasi, serta penglibatan koperasi peladang dalam sistem agihan baja dan input, telah memulihkan pasaran daripada cengkaman lama. Inilah politik yang Amanah perjuangkan: politik kerja, bukan politik gimik.

Kesihatan: Reformasi yang Memanusiakan Sistem

Dalam sektor kesihatan pula, kepimpinan daripada Amanah telah menzahirkan reformasi struktur paling menyeluruh dalam dekad ini.

Melalui peruntukan tertinggi dalam sejarah — RM46.5 bilion — Kementerian Kesihatan melaksanakan pelbagai langkah berani termasuk:

* Menyerap ribuan doktor kontrak ke jawatan tetap,

* Menaikkan elaun on-call pegawai perubatan,

* Menyalurkan hasil “sin tax” secara terus kepada KKM untuk rawatan dan pencegahan penyakit kritikal, dan

* Memodenkan sistem rekod pesakit digital di hospital dan klinik seluruh negara.

Langkah-langkah ini menggambarkan semangat politik Rahmah memandu kepimpinan mereka sebagai refleksi kepada tuntutan Maqasid yang menjadi teras panduan politik parti Amanah — menjaga nyawa, maruah, dan harta- demi kesejahteraan hidup rakyat.

Kejayaan ini tidak datang dari slogan, tetapi dari keberanian memulakan reformasi dengan dasar yang menyentuh akar masalah sebenar sesuai dengan semangat Madani.

Amanah Buktikan Politik Rahmah Boleh Memerintah dengan Cemerlang

Amanah menolak politik kebencian dan populisme yang menakut-nakutkan rakyat dengan berbagai fitnah dan sentimen. Sebaliknya, Amanah menunjukkan bahawa politik nilai melalui pendekatan Rahmah mampu melahirkan dasar yang berkesan dan berpandangan jauh.

Dari ladang hingga ke hospital, rakyat kini melihat hasil nyata kepimpinan yang berpaksikan nilai Rahmah, Amanah, Hikmah, Muafakat, Adil dan Hormat (R.A.H.M.A.H) diterjemahkan oleh dua Menteri dari Parti Amanah.

Kedua-dua kementerian ini membuktikan bahawa politik Rahmah adalah politik tindakan, bukan sekadar retorik.

Amanah Terus Menyumbang untuk Malaysia Madani

Parti Amanah Negara beriltizam untuk terus menjadi tonggak nilai dalam Kerajaan Perpaduan, memastikan setiap dasar membawa Maslahah dan Rahmah kepada seluruh rakyat. Belanjawan 2026 bukan sekadar angka, tetapi cermin kepada keberanian moral dan keikhlasan kepimpinan di bawah Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam memacu negara ke arah masa depan yang sejahtera, inklusif, dan berprinsip.

“Amanah tidak berpolitik untuk menang semata, tetapi untuk menegakkan nilai amanah dan adil dalam pentadbiran negara”

Penulis, Dr. Mujahid Yusof Rawa merupakan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara dan Ahli Dewan Negara

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *