‘Di Mana Putra?’ Teater Kanak-Kanak Berskala Besar Pertama Raih Perhatian di Kelantan

SHAH ALAM – Dunia seni persembahan Kelantan bakal melakar sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya sebuah teater kanak-kanak berskala besar dipentaskan di negeri itu menerusi produksi Anak Seni Pendidikan Kelantan (Aspek) berjudul “Di Mana Putra? Kembara Ilusi Merentas Imaginasi, Fantasi dan Realiti”.

Pementasan yang dijadual berlangsung di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan, Tanjong Chat, pada Jumaat dan Sabtu ini, bermula jam 9 malam, dijangka menjadi tarikan utama peminat seni persembahan dan keluarga tempatan yang dahagakan karya kreatif segar berasaskan pendidikan dan nilai moral.

Diarahkan oleh Aqil Rozai dan ditulis oleh Lamia Aimal, karya berdurasi satu setengah jam itu mengetengahkan kisah mengenai Putra, seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang nakal, berimaginasi tinggi dan sering mempergunakan orang lain untuk kepentingan diri.

Namun, kehidupannya berubah apabila dia hilang secara misteri dan terperangkap dalam dunia fantasi, sebuah perjalanan surreal yang membawa penonton menelusuri antara realiti, imaginasi dan pengajaran kehidupan.

“Dalam pengembaraan itu, Putra bertemu dengan pelbagai watak ikonik termasuk Jack Sparrow, Peter Pan serta tokoh-tokoh tempatan seperti Tok Janggut, Sarjan Che Wan dan Tok Kenali.

“Melalui pertemuan ini, Putra mula menyedari makna jati diri dan kepentingan menghargai orang di sekelilingnya,” ujar Lamia Aimal, yang juga tenaga pengajar dalam bidang teater pendidikan.

Kata beliau, mesej utama teater itu bukan sekadar hiburan untuk kanak-kanak, tetapi juga sebagai cerminan nilai moral, empati dan pertumbuhan diri yang dekat dengan kehidupan remaja masa kini.

Menurut Aqil Rozai, pementasan itu menampilkan lebih 20 pelakon melibatkan pelajar, alumni Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) serta tenaga muda kreatif dari seluruh negeri Kelantan.

“Selain lakonan dan muzik, pementasan turut diserikan dengan permainan rakyat Kelantan, segmen interaktif bersama kanak-kanak serta persembahan korus oleh 13 murid sekolah rendah.

“Kami mahu teater ini menjadi ruang pembelajaran terbuka, bukan sahaja mengenai seni, tetapi juga mengenai keyakinan diri, kerjasama dan komunikasi,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa teater ini merupakan usaha untuk memperkasakan generasi muda melalui seni, sambil memupuk semangat mencintai budaya tempatan dalam bentuk yang moden dan menghiburkan.

Pengarah JKKN Kelantan, Rohaniza Abdullah berkata, pementasan itu hasil inisiatif bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan JKKN bagi memberi ruang kepada penggiat teater tempatan menonjolkan bakat dan kreativiti mereka.

“‘Di Mana Putra?’ membuktikan Kelantan bukan sahaja kaya dengan warisan tradisi, tetapi juga berpotensi melahirkan karya teater moden yang berkualiti dan berimpak besar.

“Ia platform terbaik untuk mengasah bakat muda, terutama dalam bidang seni persembahan kanak-kanak yang jarang diberi tumpuan,” katanya.

Tiket bagi pementasan ini dijual pada harga RM10 untuk dewasa dan RM7 untuk kanak-kanak serta boleh didapati secara dalam talian melalui platform Cloudjoy atau di reruai jualan Aspek di lokasi pementasan.

Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi 012-955 9944 atau 014-528 8199.

Dengan gabungan jalan cerita imaginatif, mesej pendidikan yang kuat, serta elemen budaya tempatan, “Di Mana Putra?” dijangka menjadi titik permulaan kepada kebangkitan teater kanak-kanak di Pantai Timur — sekali gus menandakan era baharu dalam perkembangan seni persembahan tanah air.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *