PULAU TIOMAN – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan berangkat bercemar duli mendengar persembahan Taklimat Pembangunan Pulau Tioman di Dewan Berjaya Tioman Resort di sini, hari ini.
Keberangkatan baginda pada jam 3 petang diiringi Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
Baginda berkenan mendengar persembahan taklimat daripada Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) serta Program Pembangunan Ekonomi Asnaf oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Pahang (MUIP).
Baginda turut berkenan mendengar persembahan taklimat Inisiatif Pembangunan Negara TM: Pemerkasaan Infrastruktur Digital dan Komuniti di Kampung Mukut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia (TM) serta Inisiatif Perbankan Tanpa Tunai BSN di Pulau Tioman oleh Ketua Eksekutif Bank Simpanan Nasional (BSN).
Pada sesi tersebut baginda turut menzahirkan rasa penghargaan di atas usaha semua pihak yang terlibat dalam merancang pembangunan bagi kemudahan dan keselesaan rakyat di Pulau Tioman khususnya.
Titah baginda, segala usaha dilakukan juga mampu menarik lebih ramai pelancong luar ke pulau ini yang begitu istimewa dari segi keindahannya.
Dalam pada itu, baginda menzahirkan harapan untuk melihat Pulau Tioman menjadi pulau contoh dari segi pemuliharaan alam semula jadi dan pengurangan pelepasan karbon seperti dititahkan sebelum ini, berjaya dicapai dengan kerjasama semua pihak.
Baginda turut mengalu-alukan lebih banyak lagi program yang membina dan memajukan modal insan diadakan di Pulau Tioman, sekali gus mewujudkan peluang pembangunan yang baik dan berterusan termasuk dalam bidang pendidikan. – KESULTANAN PAHANG
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001