Kes Zara Qairina: Peguam mahu siasatan tertumpu perbuatan khianat, buli

KUALA LUMPUR – Kes kematian tragis Allahyarham Zara Qairina Mahathir kini memasuki fasa yang lebih tegang apabila pihak peguam keluarga mendedahkan wujudnya “naratif jahat” yang cuba mengubah persepsi umum terhadap mangsa dan keluarganya.

Menurut peguamnya, Shahlan Jufri dalam kenyataan bersama empat lagi rakannya, beberapa pihak didakwa sengaja menokok tambah cerita, menyebarkan fakta yang diputar belit.

Katanya, pihak berkenaan cuba mengalihkan fokus daripada isu sebenar, iaitu dakwaan perbuatan buli dan penderaan yang dihadapi mangsa sebelum menemui ajal.

“Jika keterangan-keterangan mereka boleh dipercayai, kami mencadangkan kepada Jabatan Peguam Negara (AG) agar mendakwa individu-individu dalam keterangan-keterangan itu yang melakukan buli di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Apabila langkah ini diambil, inkues tidak perlu lagi diadakan, namun sekiranya keterangan-keterangan itu tidak kuat atau tidak mencukupi bagi membentuk satu kesalahan di bawah Seksyen 507D (2) KK, siasatan lanjut perlu diteruskan bagi memperkuatkan keterangan-keterangan berkenaan.

“Dalam keadaan ini, inkues perlu diadakan serentak dengan penyiasatan tadi dan pendakwaan dilakukan kemudian,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Jelas beliau, pihaknya melihat wujud usaha sistematik untuk membina naratif palsu yang menggambarkan seolah Zara Qairina bersalah terhadap nasib yang menimpanya.

Ini ujar mereka, bukan sahaja tidak berperikemanusiaan, malah boleh mengganggu siasatan.

Peguam itu turut mendesak AG mengambil tindakan segera mendakwa individu yang terbabit secara langsung dalam perbuatan buli terhadap mangsa.

Menurutnya, keadilan bukan sekadar mencari punca kematian, tetapi juga menghukum mereka yang menyebabkan penderitaan fizikal dan mental terhadap Allahyarham Zara Qairina.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *