1MDB: 'Saya bukan tidak siuman untuk minta bukti dokumen jejas pembelaan' - Najib

Apakah nasib Najib dan kesudahan dengan Titah Adendum?

RAMAI tidak tahu istilah Titah Adendum yang mula disebut oleh bekas pemimpin UMNO, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Istilah itu agak baharu walaupun sudah sekian lama tercatat dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, sehingga ia digunakan pada Mei tahun lalu, yang dikaitkan dengan hukuman ke atas mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Titah Adendum sebenarnya merujuk kepada titah tambahan diraja yang dikatakan dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang kononnya membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Ia bagi menggantikan hukuman penjara yang dikenakan ke atas Najib dan selaras juga dengan pengurangan hukuman melalui pengampunan oleh Lembaga Pengampunan.

Bagaimanapun, kewujudan Titah Adendum ini meleret sehingga turun naik mahkamah kerana beberapa sebab, terutama mainan politik.

Pada 6 Januari 2025, Mahkamah Rayuan membenarkan Najib memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi untuk mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Untuk merujuk ke Mahkamah Rayuan, Najib mendapat keputusan setuju dua dari tiga panel hakim, iaitu Hakim Azhahari Kamal Ramli dan Mohd Firuz Jaffril menyokong, manakala Hakim Azizah Nawawi menolak.

Kerajaan pula, melalui Peguam Negara (AG) telah memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan meneruskan rayuan.

Namun, Mahkamah Persekutuan menolak bantahan awal Najib terhadap permohonan itu pada 23 Mac lalu.

Pada 28 April, permohonan AG mendapat kebenaran merayu kerana persoalan undang-undang yang dikemukakan dianggap baharu dan melibatkan kepentingan awam.

Maka, pendengaran ditetapkan pada 1 dan 2 Julai 2025.

Tiba pada tarikh itu (1 dan 2 Julai 2025), Mahkamah Persekutuan mendengar tujuh persoalan penting yang dibangkitkan oleh Peguam Negara, khususnya berkaitan penerimaan bukti baharu dan prosedur semakan kehakiman.

Dalam hujahan di Mahkamah Persekutuan, AGC telah mengakui kewujudan Titah Adendum, tetapi mempertikaikan cara dokumentasi dan prosedur pembentangan sebagai bukti dalam semakan kehakiman tersebut.

Justeru, pada Rabu, 13 Ogos 2025, Mahkamah Persekutuan menyampaikan keputusan rasmi berkaitan rayuan AG, iaitu menolak sepenuhnya rayuan itu.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim bersama Zabariah Mohd Yusof dan Hanipah Farikullah sebulat suara menolak.

Kewujudan Titah Adendum diakui wujud, tetapi statusnya (sah atau benar) hanya boleh diputuskan melalui perbicaraan substantif di Mahkamah Tinggi.

Oleh itu, semakan kehakiman akan diteruskan di Mahkamah Tinggi mengikut tarikh yang telah ditetapkan, termasuk pengurusan kes pada 18 Ogos ini dan pendengaran sebulan kemudian.

Berikut ringkasan kronologi kes:

6 Januari 2025: Mahkamah Rayuan membenarkan Najib memulakan semakan kehakiman terhadap Titah Adendum.

23 Mac 2025: Mahkamah Persekutuan menolak bantahan Najib terhadap permohonan AG merayu.

28 April 2025: AG mendapat kebenaran merayu dengan hujahan mengenai persoalan undang-undang baharu.

1 dan 2 Julai 2025: Pendengaran AG di Mahkamah Persekutuan terhadap tujuh persoalan undang-undang.

9 Julai 2025: AGC akui kewujudan Titah Adendum, tapi mencabar prosedur pembentangan sebagai bukti.

13 Ogos 2025: Keputusan rayuan AG ditolak; semakan semula di Mahkamah Tinggi diteruskan.

Oleh itu, keputusan Mahkamah Persekutuan semalam telah mengesahkan Titah Adendum memang wujud, tetapi belum boleh digunakan atau diiktiraf sebagai sah tanpa perbicaraan substantif.

Maka, Mahkamah Tinggi kini perlu menilai sendiri kesahihan dan kandungannya dalam prosiding penuh, yang merupakan satu langkah signifikan dalam perbicaraan Najib.

Ini juga menandakan perbicaraan semakan kehakiman sebenar akan diteruskan, tanpa halangan daripada Mahkamah Persekutuan. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *