KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret hari ini membebaskan aktivis Amir Hadi selepas Mahkamah Persekutuan sebelum ini memutuskan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan.
Ini bukan sekadar kemenangan peribadi, malah untuk semua rakyat Malaysia yang percaya kepada hak berhimpun secara aman.
Keputusan itu disambut baik oleh pelbagai pihak dan menggesa kerajaan segera pinda Akta Perhimpunan Aman 2012 agar benar-benar melindungi kebebasan rakyat.
Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan membuat keputusan itu selepas dimaklumkan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman, peruntukan di mana Amir didakwa, telah dibatalkan Mahkamah Persekutuan bulan lalu.
Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan tindakan menghukum individu yang gagal memaklumkan kepada polis lima hari lebih awal sebelum mengadakan perhimpunan aman adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Mahkamah juga berpendapat seksyen itu merupakan satu bentuk campur tangan yang tidak seimbang terhadap hak rakyat untuk berhimpun secara aman.
Timbalan Pendakwa Raya Anis Wahidah Mohamad memaklumkan kepada mahkamah, tiada arahan untuk mendakwa semula Amir yang diwakili peguam Rajsurian Pillai.
Bercakap kepada pemberita selepas prosiding itu, Amir berkata, beliau sedang menunggu sesi libat urus kerajaan dengan NGO dan pihak berkepentingan lain mengenai cadangan pindaan Akta Perhimpunan Aman.
Pada 14 Ogos 2022, kira-kira 200 orang berhimpun menuntut menteri yang bertanggungjawab terhadap kegagalan projek kapal tempur pesisir (LCS) dipecat atau dibawa ke muka pengadilan.
Amir didakwa di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman, yang mewajibkan notis awal kepada polis, dan berdepan hukuman di bawah Seksyen 9(5) yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000.
Beliau kemudian memfailkan cabaran perlembagaan terhadap Seksyen 9(5) akta tersebut, dan Mahkamah Tinggi merujuk persoalan itu kepada Mahkamah Persekutuan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001