Faiz Fadzil

Penghargaan luar biasa untuk rakyat, pembangkang patut malu

KUALA LUMPUR – Pengumuman khas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam adalah berita baik bagi semua rakyat Malaysia, termasuk di negeri-negeri pembangkang (SG4).

Inisiatif-inisiatif yang diumumkan, bukti Kerajaan Madani prihatin terhadap beban kos sara hidup rakyat, tanpa lari daripada landasan reformasi ekonomi dan pembaharuan fiskal.

Bahkan, hutang tahunan baharu dan kadar defisit terus diturunkan, namun kebajikan rakyat tidak diabaikan, kata Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil.

Beliau berkata, antara inisiatif diumumkan itu adalah bantuan tunai RM100 kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas, harga petrol RON95 diturunkan ke RM1.99 seliter, kenaikan tol bagi 10 lebuh raya ditangguhkan termasuk Lebuhraya Pantai Timur 2 dan Jualan Rahmah Madani diperluaskan.

“Dengan bantuan RM100, jumlah peruntukan untuk program STR dan SARA telah naik sekali lagi ke RM15 bilion. Ini bermaksud berbanding tahun 2024, jumlah peruntukan oleh Kerajaan Madani kepada rakyat melonjak 50 peratus.

“Terima kasih kepada PM bagi penghargaan ini sempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia yang bakal menjelang.

“Kepada parti-parti pembangkang yang mahu berdemonstrasi minggu ini menentang PM, saya cabar anda bentangkan inisiatif-inisiatif yang lebih baik. Sebelum mendesak PM meletak jawatan, dedahkan juga calon PM anda,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Menurut Muhammad Faiz, Perikatan Nasional (PN) bukan sahaja tiada calon kukuh dan sepakat, malah semakin berantakan.

Kata beliau, pembangkang dinasihatkan menggunakan saluran sah yang dibenarkan Perlembagaan Persekutuan untuk menukar kerajaan.

“Penukaran kerajaan di tengah-tengah penggal sama ada melalui demontrasi jalanan atau tebuk atap adalah tindakan yang tidak mengikut prinsip demokrasi.

“Langkah Sheraton adalah satu detik hitam negara yang telah mengakibatkan ketidakstabilan politik dan kelemahan ekonomi.

“Rakyat seharusnya benci kepada PN yang menebuk atap kerajaan sah sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, demontrasi ‘Turun Anwar’ menunjukkan sikap PN yang tidak tahu menghormati mandat rakyat.

Rakyat katanya, seharusnya menolak sikap pembangkang yang terdesak ini.

“Pembangkang perlu bersikap seperti PH yang menunggu pilihan raya untuk menukar kerajaan.

“Amanah menyeru seluruh rakyat untuk mengembeleng seluruh kekuatan kita membangunkan negara demi kesejahteraan bersama,” ujarnya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *