KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyifatkan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kononnya untuk penghargaan kepada rakyat Malaysia, tidak lebih bersifat kosmetik semata-mata.
Ketua Penerangannya, Irwan Fahmi Ideris berkata, pengumuman yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat hampir seminggu lalu, langsung tidak menyentuh isu akar umbi, apatah lagi penyelesaian kepada permasalahan kos sara hidup yang tinggi.
Kata beliau, Perkasa memandang serius pengumuman itu, kononnya membawa penghargaan kepada rakyat, tetapi selepas diteliti, ternyata bersifat kosmetik, tanpa menyentuh masalah sebenar yang menghimpit para marhaen.
“Masalah utama membelenggu rakyat ialah kenaikan harga barang keperluan asas, penghapusan subsidi diesel, bil elektrik melambung, pengangguran anak-anak muda dan pendapatan tidak mencukupi.
“Ini yang sepatutnya ditangani secara tuntas oleh Anwar, bukan mengumumkan bantuan one-off sekecil RM100, yang tidak dapat menyelesaikan beban ditanggung rakyat.
“Apa ertinya kerajaan prihatin kalau rakyat di pasar, di pam minyak dan di kedai runcit terus terhimpit?,” soal beliau dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Irwan Fahmi, paling mengecewakan, antara penghargaan yang diumumkan adalah pemberian cuti umum tambahan, seolah itu suatu bentuk kelegaan buat rakyat.
Hakikatnya, ujar beliau, cuti itu tidak memberi makna langsung kepada majoriti rakyat yang bergantung pada pendapatan harian.
“Bagi peniaga kecil, pemandu e-hailing, petani dan penjaja, cuti itu hanya menambah kerugian dan menyekat rezeki mereka.
“Pengurangan harga petrol yang terlalu kecil, langsung tidak memberi kesan ketara kepada kos kehidupan rakyat. Apakah 5 atau 10 sen penurunan itu cukup untuk menampung beban harian rakyat ketika harga barang terus naik tanpa kawalan?
“Yang pastinya, rakyat tidak perlukan cuti. Rakyat perlukan harga barang yang stabil, subsidi dikembalikan kepada yang berhak, peluang pekerjaan yang adil dan mampan, bil elektrik dan bahan api yang tidak membebankan,” katanya.
Namun, kata beliau lagi, apa yang Anwar umumkan pagi ini hanyalah langkah populis bersifat jangka pendek, tidak memberi nilai tambah sebenar kepada kehidupan rakyat.
“Justeru, Perkasa mendesak kerajaan berhenti bermain persepsi dan mula mendengar keluhan rakyat secara tulus serta bertindak dengan dasar yang berani dan menyentuh akar permasalahan negara.
“Rakyat perlukan penyelesaian, bukan sandiwara” katanya. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001