07/03/2025:
SHAH ALAM – EP Manufacturing Berhad (EPMB), penyedia penyelesaian automotif terkemuka di Malaysia, mencatatkan salah satu pencapaian terbaik dalam sejarahnya, disokong oleh penyertaan dalam perniagaan pembuatan tempat duduk kereta.
Keuntungan bersih EPMB bagi keseluruhan tahun kewangan 2024 (FY2024) adalah RM18.96 juta, menurun 6.9 peratus berbanding RM20.36 juta pada tahun sebelumnya (FY2023).
Pendapatan FY2024 pula berjumlah RM594.71 juta, susut 9 peratus tahun ke tahun, terutamanya disebabkan bayaran balik perkakas (tooling reimbursement) yang lebih rendah daripada pelanggan bagi pembangunan model dan produk baharu.
Bayaran balik perkakas ini merupakan pendapatan bukan berulang, yang mewakili sebahagian kos pelanggan untuk reka bentuk dan pembuatan komponen baharu mengikut spesifikasi mereka.
Bagi suku keempat 2024 (Q42024), keuntungan bersih EPMB meningkat lebih tiga kali ganda tahun ke tahun kepada RM9.60 juta, didorong oleh peruntukan cukai yang lebih rendah serta pendapatan cukai tertunda sepanjang suku tersebut.
Pendapatan Q42024 berjumlah RM145.34 juta, turun 28 peratus tahun ke tahun, disebabkan oleh bayaran balik perkakas yang lebih rendah serta penurunan dalam jumlah jualan komponen dan alat ganti automotif.
Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah mengumumkan keputusan kewangan syarikat bagi tahun kewangan 2024.
“Prestasi kewangan dan operasi mencerminkan daya tahan serta kedudukan strategik EPMB dalam menghadapi landskap automotif yang semakin berkembang dan persaingan sengit daripada pemain baharu di pasaran.
“Pada tahun kewangan 2025 (FY2025), kami akan terus meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai dan menjangkakan sumbangan penuh sepanjang tahun daripada perniagaan pemasangan kenderaan, khususnya menerusi kerjasama dengan GWM dan BAIC.
“Kami juga sedang mempersiapkan diri untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan yang besar dalam pasaran eksport automotif ASEAN,“ katanya.
Industri automotif di Malaysia dan ASEAN sedang mengalami fasa peralihan dan menyaksikan perubahan dalam dinamik pasaran dengan pengaruh yang semakin ketara daripada pengeluar kenderaan dari China serta peningkatan penerimaan pengguna terhadap jenama ini.
Bagi memastikan kelangsungan jangka panjang, pihaknya akan terus berhati-hati dalam memilih rakan kongsi OEM, dengan memberi tumpuan kepada mereka yang selari dengan matlamat strategik syarikat.
“Keupayaan kami untuk menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran sambil mengekalkan kecemerlangan operasi adalah kunci kepada pertumbuhan masa depan.
“Kami sedang memperkukuh rantaian bekalan serta meningkatkan kandungan tempatan bagi menyokong pasaran domestik dan eksport. Pendekatan ini bukan sahaja memenuhi keperluan peraturan tetapi juga meletakkan kami dalam kedudukan lebih kukuh untuk berkhidmat kepada pasaran ASEAN secara lebih meluas.
“Masih banyak yang perlu dilakukan. EPMB kekal komited untuk membina model perniagaan yang mampan dan menguntungkan serta yakin pendekatan proaktif serta kedudukan strategik akan membolehkan syarikat menavigasi landskap automotif yang berubah, sambil mengekalkan pertumbuhan mampan dan memberikan nilai kepada pemegang saham,” kata beliau. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001