Misi Hijau: Pelajar UiTM Cipta Impak Positif di Bali

07/03/2025:

BALI, INDONESIA – Pencemaran alam dan bencana alam merupakan cabaran utama setiap negara yang perlu ditangani secara efektif dan efisien dan ia berkait rapat dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Usaha memelihara biodiversiti adalah penting bagi mencapai SDG kerana hampir satu pertiga daripada 17 matlamat SDG seperti SDG 6 (Clean Water and Sanitation), SDG 13 (Climate action) dan SDG 15 (Life on Land) yang mempunyai kaitan dengan alam sekitar. 

Satu projek lestari alam di bawah program Global Volunteer Mission to Bali yang dianjurkan oleh Kelab Prime Mover UiTM melibatkan seramai 18 pelajar UiTM Cawangan Negeri Sembilan dan komuniti setempat di Bali telah berlangsung di Pusat Pendidikan Lingkungan Hidup (PPLH), Bali pada 27 Februari 2025 bagi meningkatkan kemahiran praktikal dalam menangani isu-isu alam sekitar serta meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab sosial terhadap persekitaran. 

Aktiviti pertama yang dijalankan adalah aktiviti biopori, iaitu penyediaan saluran resapan biopori pada tanah.

Pelaksanaan aktiviti ini bertujuan bagi pelupusan sisa-sisa makanan dan mengurangi risiko bencana banjir.

Melalui aktiviti ini, peserta mempelajari mengenai meningkatkan kualiti tanah dan penyerapan air, yang seterusnya menyumbang kepada ekosistem yang lebih sihat.

Ekosistem yang sihat bukan sahaja memperbaiki kualiti udara dan air, tetapi dapat juga mengurangkan risiko penyakit bawaan air yang memberikan impak positif kepada kesihatan awam secara keseluruhan. 

 

Aktiviti kedua yang dilaksanakan adalah aktiviti penanaman pokok bunga dan pokok herba.

Aktiviti ini bertujuan untuk mengurangkan pemanasan global dan mengurangkan aktiviti kehakisan tanah dan seterusnya memberi manfaat kepada penduduk setempat.

Para peserta diajar mengenai cara menanam pokok, jenis-jenis pokok yang sesuai untuk ditanam, serta manfaat penanaman pokok seperti pengurangan pencemaran udara dan penyediaan oksigen.

Melalui aktiviti ini, para peserta diingatkan tentang tanggungjawab mereka terhadap alam sekitar dan bagaimana tindakan kecil seperti menanam pokok dapat menyumbang kepada kelestarian bumi.

Selaku Pengarah Projek, Nur Adilah berharap agar program ini dapat menggalakkan mahasiswa universiti dan komuniti atau masyarakat bergiat aktif dalam aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar untuk kesejahteraan generasi akan datang dan sekaligus dapat menyumbang kepada pencapaian SDG.

Projek Lestari Alam bukan sahaja dapat memberikan pengalaman berharga kepada para pelajar tetapi juga memberi impak positif kepada masyarakat setempat di Bali.

Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektifnya dalam memperkukuh kemahiran praktikal peserta serta meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab sosial terhadap alam sekitar.

Dengan inisiatif seperti ini, diharapkan generasi muda akan lebih peka dan bertanggungjawab terhadap kelestarian alam demi masa depan yang lebih baik. – ND

Penulis, Nur Qistina Hamidi ialah Wxco Publisiti dan Media Kelab Prime Mover UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *