PENAMPANG – Kira-kira 250 keluarga dan lima sekolah yang terkesan akibat banjir melanda sekitar Penampang, hari ini menerima bantuan tunai daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR).
Setiap keluarga menerima sumbangan sebanyak RM200 dengan RM50,000 peruntukan, manakala sebuah sekolah menerima RM10,000, juga dengan RM50,000 peruntukan disediakan.
Bantuan itu adalah bagi meringankan beban keluarga dan sekolah yang menjadi mangsa banjir baru-baru ini.

Majlis penyerahan bantuan berjumlah keseluruhan RM100,000 kepada keluarga dan lima sekolah itu disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick di Dewan Huguan Siou Tuavon Penampang, di sini.
Turut hadir, Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang; Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; Presiden Majlis Perbandaran Penampang, Francis Chong; Pegawai Pendidikan Daerah Penampang, Ag Mohd Kadir Ag Kanak; Supardi Jumat; dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.
Menurut Ewon, usaha murni itu diharapkan dapat memberi sedikit kelegaan kepada mereka yang terkesan dengan bencana banjir dalam meringankan urusan kewangan keluarga serta sekolah yang akan meneruskan sesi persekolahan bagi penggal kedua tidak lama lagi.

Kata beliau, bantuan khas itu diberikan kepada setiap keluarga serta sekolah yang telah dikenalpasti terjejas dalam banjir menerusi Pusat Khidmat Ahli Parlimen Penampang.
“Terima kasih kepada YBR kerana menyantuni mereka ini dan diharapkan peruntukan ini dapat digunakan sebagai bantuan pasca banjir bagi meneruskan kehidupan harian seperti biasa,” katanya.
Dalam majlis sama, Philip berkata, YBR akan mengusahakan lebih banyak bantuan lagi bagi meringankan beban mereka yang terkesan akibat bencana alam itu.
Ujar beliau, pihaknya amat prihatin serta cakna dengan bebanan kewangan yang dihadapi mereka, terutama dalam kalangan B40.
“Semoga inisiatif ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka menyediakan keperluan asas seharian, manakala pihak sekolah dapat membaiki peralatan yang rosak,” katanya.
Antara agensi yang turut sama hadir bagi memberikan bantuan adalah Bank Rakyat, SME Bank, CO-OP Bank Pertama, TEKUN Nasional, Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Pada tahun 2024, Yayasan Bank Rakyat telah memperuntukkan sebanyak RM600,000 bagi pemberian sumbangan dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik serta bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi penerima melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan penjagaan kesihatan. – NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252