Malaysia alu-alukan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengenai isu Palestin

Malaysia alu-alukan keputusan ICJ mengenai isu Palestin

PUTRAJAYA – Malaysia mengalu-alukan keputusan bersejarah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memihak kepada Palestin.

Memetik laporan BERNAMA, keputusan mahkamah itu disampaikan melalui Pendapat Nasihat berkaitan dengan Kesan Perundangan yang timbul daripada Dasar dan Amalan Israel di Wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur, semalam.

Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan berkata, keputusan ICJ itu mengesahkan hujah perundangan Malaysia yang dibentangkan oleh Menteri Luarnya, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika di mahkamah berkenaan pada 22 Februari lalu.

“Malaysia menggesa semua negara supaya mendesak Israel menerima dan mematuhi keputusan ICJ dan segera menghentikan segala sokongan mereka kepada Israel daripada meneruskan pendudukan haram di Wilayah Palestin,” katanya.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa dengan majoriti yang amat besar memutuskan pendudukan Israel yang berterusan di wilayah Palestin yang diduduki adalah tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa dan harus dihentikan dengan segera.

Semua aktiviti pendudukan baharu harus ditamatkan dan segala kemusnahan diberi pampasan.

“Keputusan mahkamah ini menegakkan hak mutlak rakyat Palestin dalam menentukan nasib sendiri. Tindakan dan dasar-dasar Israel didapati melanggar undang-undang antarabangsa,” katanya.

Malaysia akan terus menyokong dan memperjuangkan pembentukan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan persempadanan pra-1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara, selain daripada Palestin diterima sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ia berkata, mahkamah itu turut menekankan tanggungjawab bersama semua negara dan organisasi antarabangsa dalam menamatkan pendudukan haram Israel.

Semalam, ICJ memutuskan Wilayah Palestin yang diduduki adalah “kesatuan wilayah tunggal,” yang akan dilindungi dan dihormati.

Menekankan bahawa peraturan The Hague telah menjadi sebahagian daripada undang-undang adat antarabangsa, ICJ berkata, “perlindungan yang ditawarkan oleh Konvensyen Hak Asasi Manusia tidak berhenti dalam kes konflik bersenjata atau pendudukan,” lapor Agensi Anadolu.

Merujuk kepada pendudukan Israel di Wilayah Palestin, mahkamah menyatakan bahawa “eksploitasi sumber semula jadi” oleh Israel di Wilayah Palestin yang diduduki adalah “tidak selaras dengan kewajipannya” untuk menghormati hak rakyat Palestin terhadap kedaulatan.

Lebih khusus mengenai pengusiran paksa di Baitulmuqaddis Timur dan Tebing Barat, mahkamah menekankan bahawa dasar dan amalan Israel melanggar larangan Konvensyen Geneva Keempat mengenai pemindahan paksa populasi yang dilindungi.

“Dasar penempatan Israel melanggar Konvensyen Geneva Keempat,” katanya.

Mahkamah berkata, dasar dan amalan Israel menyamai aneksasi sebahagian besar Wilayah Palestin yang diduduki, dan ia “tidak yakin” bahawa perluasan undang-undang Israel ke Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur adalah wajar. – BERNAMA-ANADOLU

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 010-894 2252

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *